Engkar titah mengadap, ketiga – tiga Adun PAS mohon keampunan Tuanku



Sebaran :

 

Tiga Adun PAS Perak memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berikutan kegagalan mereka menghadap baginda pada Selasa lalu.

Pada sidang media di Ipoh hari ini, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, dia dan dua Adun lain mengakui ‘kekhilafan’ mereka kerana tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan.

“Sehubungan dengan itu PAS Perak juga akan mengutuskan surat bagi menzahirkan permohonan keampunan untuk kami,” kata Razman pada sidang media ringkas berkenaan.



Razman bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada Adun PAS akan dilantik dalam barisan exco negeri.

Pada Selasa lalu, Sultan Nazrin Shah memanggil menghadap Adun Bersatu dan PAS ke Istana Kinta di Ipoh berikutan kemelut politik di negeri itu.

Hanya Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, yang merupakan wakil rakyat dari Bersatu hadir ke istana negeri.



Bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu pula berkata Bersatu tidak menerima titah untuk menghadap Sultan Nazrin berhubung isu pelantikan penggantinya.

Bagaimanapun, Anggota Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini berkata baginda telah menitahkan agar Adun Bersatu dan PAS  datang mengadap bagi membuktikan calon menteri besar daripada Umno mendapat sokongan majoriti dalam Dun.

Faizal digulingkan sebagai menteri besar Perak pada Jumaat minggu lalu melalui undi percaya yang diusulkan oleh seorang Adun Umno.



Berikutan itu, Umno berusaha membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH), namun rundingan itu menemui jalan buntu.

Umno, Bersatu dan PAS akhirnya bersetuju mencalonkan pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad sebagai calon menteri besar. Keputusan itu dibuat selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membuat permohonan maaf terhadap penyingkiran Ahmad Faizal.

Saarani yang juga Adun Kota Tampan mengangkat sumpah jawatan menteri besar Perak pagi semalam.




Sebaran :


Leave a Reply