E-Board lahir 5,000 usahawan kuasai teknik pemasaran digital – Wan Junaidi



Sebaran :

Seramai 4,759 usahawan telah mendapat manfaat dari program Online Onboarding Coaching (E-Board) yang memfokuskan kepada topik digitalisasi sepanjang tahun 2020.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, program yang diperkenalkan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) pada Julai lepas memfokuskan usaha memperkukuh kemampuan dan kapasiti usahawan mikro, kecil dan sederhana dalam penggunaan platform secara dalam talian.

“INSKEN mensasarkan peningkatan jualan selepas menyertai program E-Board dan keberhasilannya terbukti apabila ada di antara kalangan usahawan yang telah berjaya melonjakkan jualan sebanyak 525.58 peratus semasa tempoh program bimbingan dijalankan.



“Manakala purata hasil jualan kesemua 250 peserta kohort 1 telah mencatat peningkatan sebanyak 17.57 peratus.

“Seiring dengan perubahan era globalisasi, INSKEN amat komited dalam membantu proses transformasi usahawan dari perniagaan konvensional kepada perniagaan secara dalam talian melalui platform seperti Facebook, Instagram, YouTube, WhatsApp dan Telegram,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Pada peringkat awal program E-Board, usahawan akan diberi pendedahan kepada semua platform dalam talian dalam jangka masa dua hari melalui sesi latihan General E-Marketplace.



Lanjutan itu, usahawan akan diberi peluang untuk memilih platform yang ingin dikuasai bersesuaian dengan perniagaan mereka agar dapat dibimbing selama tiga bulan oleh pakar secara lebih mendalam dan intensif.

Selain itu kata Wan Junaidi, INSKEN juga telah mempersiapkan usahawan ke arah ekonomi digital melalui Program INSKEN Business Training yang turut diadakan secara dalam talian.

“Antara topik-topik yang diberi pendedahan kepada usahawan adalah seperti WhatsApp untuk bisnes, pasarkan produk anda di e-Marketplace (Shopee & Lazada), zero cost marketing menggunakan Facebook dan banyak lagi.



“INSKEN akan sentiasa tampil ke hadapan untuk membantu usahawan bangkit semula dalam menghadapi krisis pandemik COVID-19 yang turut memberi kesan kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemilik Pusat Pembangunan Ilmu, Teratak Ilmu, Widad Fitriah menjadi usahawan yang berjaya melonjakkan jualan tertinggi melalui program E-Board.

Menurut Widad , syarikatnya telah menerima arahan untuk keluar dari premis perniagaan dalam masa 30 hari kerana tidak mampu lagi untuk membayar kesemua kos operasi yang tertunggak dan telah mencecah puluhan ribu ringgit.



“Namun, setelah mengikuti program E-Board dan mempelajari teknik pemasaran secara atas talian, saya berjaya melunaskan kesemua tunggakan tersebut.
“Kesemua kos operasi Teratak Ilmu kini 100 peratus mampu dibayar menggunakan hasil jualan berbanding dahulu yang terpaksa menggunakan sumber pendapatan lain untuk menampung kesemua kos tersebut.

“Pencapaian ini sudah berjaya dikekalkan selama empat bulan berturut-turut, hasil daripada bimbingan melalui program E-Board,” jelasnya.

Maklumat lanjut mengenai program latihan keusahawanan anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad boleh didapati melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my. Awani



PKS dan usahawan mikro disaran ubah strategi pemasaran, model perniagaan.


Sebaran :


Leave a Reply