Bertengkar Punya Pasal, Merajuk Lelaki Ini Bawak Diri Berjalan Selama Seminggu Sejauh 420km

Seorang lelaki dari Itali dilaporkan telah berjalan kaki selama satu minggu sejauh 420 kilometer dari rumahnya untuk menenangkan diri selepas bertengkar dengan isterinya, lapor Oddity Central.

Menurut portal berkenaan, lelaki berusia 48 tahun yang berasal daripada Como, sebuah bandar di utara Milan, di Itali, dilaporkan bertengkar dengan isterinya akhir bulan lalu. Disebabkan itu, dia telah mengambil keputusan untuk keluar daripada rumahnya dan berjalan kaki bagi menenangkan kepalanya.

Walaupun tampak seperti ianya perkara biasa, namun sebenarnya tidak. Ini kerana, lelaki tersebut telah keluar daripada rumahnya dan tidak berhenti berjalan kaki sejak daripada itu.



Dia hanya berhenti selepas sebuah kereta polis peronda bertindak menahannya di Gimarra, pantai Adriatik, 418 kilometer dari rumahnya.

Ketika itu, anggota polis tersebut dilaporkan sedang melakukan rondaan di jalan-jalan sekitar Gimarra bagi memastikan orang awam mematuhi perintah berkurung yang dilaksanakan di seluruh negara Itali.

Semasa melakukan rondaan tersebut, mereka telah terserempak dengan seorang lelaki yang sedang berjalan kaki berseorangan pada jam dua pagi.

Mereka lantas memberhentikan kenderaan dan menanyakan beberapa soalan kepada lelaki tersebut seterusnya membawanya ke balai polis.



Pada ketika itu, mereka mendapati bahawa lelaki tersebut telah dilaporkan hilang oleh isterinya.

Lelaki itu kemudiannya terus memberitahu kepada mereka tentang mengapa dia bertindak sedemikian.

Lelaki itu menyatakan bahawa dia telah bertengkar dengan isterinya pada seminggu sebelumnya dan telah keluar berjalan-jalan untuk menenangkan kepalanya dan tidak pernah berhenti sejak dari itu.

Tanpa menaiki apa-apa pengangkutan, lelaki tersebut telah menempuhi jarak sejauh 420 kilometer dengan hanya berjalan kaki dalam masa tujuh hari sahaja. Ianya bermakna, dia telah menempuhi jarak sekitar 60 kilometer sehari.



“Saya terus berjalan dan tidak pernah berhenti,” ujar lelaki itu. “Saya tidak menggunakan apa-apa pengangkutan. Selama itu saya hanya hidup dengan makanan serta minuman yang ditawarkan kepada saya oleh orang-orang yang baik sepanjang perjalanan saya. Saya berada dalam keadaan baik sahaja namun sedikit letih.”

Setelah mendengar penjelasannya yang luar biasa itu, polis memutuskan untuk membebaskannya sebelum memaklumkan perkara itu kepada isterinya.

Pihak polis juga dilaporkan mengeluarkan kompaun sebanyak 400 euro kepadanya kerana melanggar perintah berkurung. Mereka juga turut memberikannya sebuah bilik hotel untuknya bermalam sehingga isterinya tiba bagi menjemputnya-SiakapKeli

Sumber: Odditycentral 



Panjat menara tidak tahan dengan bebelan isteri

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker