Pemimpin Jangan Jadi Seperti ‘Beruk Yang Lawan Dengan Kilat’ – MB Kedah
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan tindakan serta sikap beberapa pemimpin MIC dan DAP termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendesaknya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar susulan kenyataan berkaitan isu perobohan Kuil Muniswarar di Kuala Kedah adalah seperti “beruk yang cuba berlawan dengan kilat”.
Tegas beliau, kesemua mereka diumpamakan seperti melakukan perbuatan yang tidak mempunyai faedah.
Ini kerana, kata Sanusi, kenyataan yang dikeluarkan beliau sebelum ini langsung tidak memberi kesan kepada pemimpin-pemimpin berkenaan selain tidak berkait dengan kepimpinan mereka di peringkat negeri.
Tambah beliau, kesemua pemimpin itu seharusnya memberi fokus dalam menyelesaikan masalah rakyat di negeri masing-masing dan tidak ‘menyibuk’ dengan isu yang berlaku di negeri Kedah.
“Mereka ini lebih kurang beruk (yang cuba berlawan dengan lintar), bukan saya kata dia beruk, tapi sikap (mereka)… kita tak kata kat dia pun
“(Perumpaannya seperti) lintar (kilat dan) guruh bunyi, sebab hujan (hendak turun) bukan (kilat nak) panah dia, dia nak lawan (dengan kilat) pasal apa? Tiada faedah (dan satu perbuatan) yang boleh mendatangkan cedera untuk diri sendiri, beruk lawan lintar (atau kilat).
“(Seharusnya) jaga hal dia sudahlah, dia orang mana? Dia YB di Johor… asal dia orang mana? Dulu bertanding di Pulau Pinang, Ipoh, (kemudian) ke Johor, dia kampung asal mana, Johor? Okeylah jaga Johorlah,” tegas Sanusi lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.
Terdahulu, Lim Kit Siang mengkritik Sanusi dengan mendakwa Menteri Besar itu tidak layak dan tidak mampu memikul jawatan sebagai pemimpin nombor satu negeri itu susulan kenyataan berbaur rasis yang dikeluarkannya berhubung isu kuil di Kuala Kedah Kit Siang turut mempersoalkan tindakan kepimpinan Pas Pusat yang dilihat mengambil pendekatan berdiam diri berhubung tindak tanduk dan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah itu.
Jumaat lalu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy turut bersetuju dengan cabaran MIC yang dikemukakan Presidennya, Tan Sri S Vigneswaran agar Sanusi meletak jawatan jika gagal mengharamkan parti komponen Barisan Nasional itu.
Ramasamy yang juga ADUN DAP Perai menyifatkan kenyataan dan gesaan itu adalah tepat pada masanya memandangkan Sanusi sebelum ini telah membuktikan tanpa keraguan yang dia bukan sahaja seorang yang bersifat perkauman tetapi juga seorang pelampau agama.