Mesyuarat Dewan Tertinggi BN tidak tumpu kemelut politik Perak

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam ini tidak membuat sebarang keputusan berhubung krisis politik di Perak walaupun kemelut itu ada dibincangkan.

Bendahari Agungnya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mesyuarat dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu adalah pertemuan bulanan gabungan empat parti itu bagi membincangkan perkembangan semasa parti.

Katanya, kemelut politik di Perak ada dibincangkan tetapi tidak secara terperinci.

“Apa yang berlaku sudah pun terjadi dan kita kena tunggu dan lihat apa yang diputuskan kepemimpinan tertinggi parti yang terbabit,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat di Menara Dato Onn itu.

Mesyuarat kira-kira dua jam itu dihadiri Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup.

Ditanya pendirian BN mengenai PAS, Hishammudin berkata, perkara itu perlu ditanyakan kepada pengerusi parti (Ahmad Zahid) dan beliau tidak boleh menjawabnya.

Kemelut politik Perak: Perlantikan MB baharu adalah ‘Jalan Penyelesaian’

Mengenai perjumpaan Ahmad Zahid dengan barisan menteri BN petang tadi, beliau menjelaskan, perjumpaan itu juga pertemuan biasa yang dijadualkan setiap dua minggu.

“Sebagai menteri daripada BN, menjadi tanggungjawab kami melaporkan perkembangan semasa apa yang diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.

“Hanya hal, biasa bukan mengenai situasi di Perak. Suka atau tidak, kami mewakili BN sudah pasti mengemukakan cadangan, dasar serta pendirian dan kedudukan parti untuk dikongsi dengan apa yang dibincangkan Jemaah Menteri.

“Menteri BN menjadi suara dan telinga parti, perbincangan tadi memaklumkan keputusan dan apa yang dibincangkan Kabinet,” katanya.

Sementara itu, Vigneswaran pula menegaskan, mesyuarat BN adalah mesyuarat biasa yang menyentuh mengenai persediaan parti menghadapi pilihan raya.

“Tidak ada yang berkaitan dengan (krisis politik) Perak,” katanya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker