Bekalan air pulih di 430 kawasan pulih – Air Selangor

 

KUALA LUMPUR: Bekalan air di 430 daripada 861 kawasan di sekitar Lembah Klang yang mengalami gangguan sejak awal pagi ini, dipulihkan setakat jam 6 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata daerah Kuala Selangor mencatatkan peratus pemulihan tertinggi iaitu 94 peratus, diikuti Kuala Lumpur (75 peratus), Petaling (67 peratus), Gombak (42 peratus) dan Klang/Shah Alam (21 peratus).

Gangguan bekalan air itu berlaku disebabkan pencemaran air mentah dikesan di Sungai Selangor, yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dihenti tugas pada 11.30 malam tadi dan operasi LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas jam 1 pagi tadi.

“Bekalan air alternatif boleh diperoleh di Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan awam yang disediakan bermula jam 12 tengah hari untuk kemudahan pengguna,” katanya melalui kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Air Selangor menasihatkan pengguna sentiasa mematuhi peraturan Pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki, PKS dan pili awam.

Maklumat mengenai bekalan air boleh diperoleh melalui media sosial agensi itu termasuk di aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram, Twitter dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Petang tadi beberapa media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, berkata pembuangan air kolam ternakan ikan keli secara haram dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau yang mengakibatkan kedua-dua LRA dihenti tugas. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker