Covid Sihat Sejak Lahir
Diberikan nama unik Covid sempena pandemik Covid-19 yang melanda dunia tahun ini.
Itulah nama diberikan kepada seekor anak seladang yang berjaya dilahirkan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungkai, Perak baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kelahiran seekor anak seladang jantan itu adalah hasil usaha berterusan kakitangan PKHL dalam membiakkan spesies hidupan terancam itu.
Menurutnya, anak seladang yang diberi nama Covid itu adalah anak kepada pasangan seladang liar diberi nama November dan Daisy.
“Covid seekor anak seladang yang sangat aktif dan sihat sejak dilahirkan. Pemantauan secara berterusan dilakukan Perhilitan bagi memastikan ia sentiasa selamat dan sihat.
“Kelahiran anak seladang ini adalah hasil inisiatif Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia dalam melindungi dan memelihara biodiversiti negara demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya, semalam.
Menurutnya, Perhilitan turut menerima satu lagi khabar gembira berhubung kelahiran seekor anak tenggiling betina di PKHL Sungkai, Perak.
“Tenggiling betina ini adalah anak kepada pasangan tenggiling diberi nama Gerik dan Balan. Ini adalah kelahiran kedua tenggiling dalam kurungan bagi tahun 2020,” katanya.
Selain PKHL Sungkai, sebanyak 62 anak seladang dilahirkan secara semula jadi di PKHL Seladang, Jenderak Selatan, Pahang sejak 2010 hingga kini.
Difahamkan seladang bunting 10 bulan dan anaknya menyusu sehingga usia sembilan bulan.
Seladang antara binatang dilindungi sepenuhnya di negara ini, dan tindakan mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 dikenakan kepada pihak yang memburunya.-HM