BERSATU Johor Nafi Bincang Tinggalkan Gabungan Perikatan Nasional

Terkini di My KMU !!!!---->

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor menafikan khabar angin parti itu membincangkan cadangan meninggalkan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi BERSATU negeri, Md Nasir Hashim, berkata khabar angin itu sengaja ditularkan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mengambil kesempatan.

“Tidak betul. Kami tidak ada membincangkan apa-apa pasal sokongan pada PN Johor. Malahan, kerjasama kami bersama PAS bertambah baik.

Sejak malam tadi, khabar angin tersebar mengenai BERSATU Johor mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan cadangan meninggalkan PN Johor, sekali gus menyebabkan pelbagai andaian timbul.

Ia termasuk ura-ura akar umbi parti itu didakwa mendesak mahu tindakan balas diambil dengan membuat usul undi percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, esok.

Ia berikutan kegagalan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dalam undi usul percaya terhadap beliau, semalam.

Dalam undian itu, daripada 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 menyokongnya, manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Ia ditambah dengan kenyataan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang dilaporkan berkata, nasib dialami Ahmad Faizal itu mengguris perasaan pemimpin dan akar umbi BERSATU di seluruh negara termasuk Johor kerana usul percaya gagal mendapat sokongan majoriti ADUN termasuk wakil rakyat UMNO membentuk kerajaan negeri itu.

Esok ialah hari terakhir Sidang DUN Johor, dengan Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, dijangka menggulung perbahasan Belanjawan Johor 2021 diikuti kelulusan ahli dewan terhadap belanjawan dibentangkannya itu.

Dijangkakan, Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadiri persidangan hari terakhir DUN Johor esok.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan ketika ini, dengan PN menguasai 29 kerusi dan pembangkang, 27 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN, iaitu 14 dimiliki UMNO, BERSATU (12); MIC (2) dan PAS (1), manakala blok PH mempunyai 14 kerusi melalui DAP; Parti Amanah Negara (AMANAH) (9) dan PKR (4).

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husain, ketika dihubungi berkata, hubungan parti dalam PN ketika ini berada dalam keadaan baik.

“Saya amat berharap hubungan baik berkenaan dikekalkan dan tiada tindakan seperti apa terjadi di Perak berlaku di Johor, Insya-Allah,” katanya.-BH

Sultan Ibrahim beri amaran bubar DUN Johor

Leave a Reply