Keenakan putu halba inti serunding daging Keenakan putu halba inti serunding daging
Unik dan sedap. Itu gambaran kuih tradisi Kelantan putu halba yang diinovasikan dengan inti serunding daging dan dijual di tepi jalan Kota Bharu-Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kampung Penambang, di sini.
Peniagaan itu diusahakan oleh Fauziah Mustapa, 31, bersama bapa angkat, Mohd Azmi Puteh, 60
Fauziah berkata, idea resipi putu halba berintikan serunding daging dicetuskan oleh Allahyarham ibunya, Asmah Ibrahim sebelum meninggal dunia dua tahun lalu.
“Putu halba adalah kuih yang diperbuat daripada tepung ubi kayu dan dimasukkan gula melaka sebagai inti lalu dikukus. Itu resipi asal yang enak dan menjadi kebiasaan turun-temurun masyarakat Kelantan dengan kemunculannya sering dinanti-nantikan hanya ketika musim tengkujuh.
“Ibu pula, semasa itu mahukan kelainan dalam menjual putu halba. Jadi, dia yang menggemari serunding daging yang dimakan bersama nasi panas itu kemudiannya cuba menambahkan serunding sebagai inti ke dalam putu halba.
“Kami tidak menjangkakan usaha itu ‘menjadi’ dan berjaya meraih sambutan luar biasa daripada kalangan peminat putu halba,” katanya ketika ditemui di gerainya di tepi Jalan Kampung Penambang di sini hari ini.
Fauziah menunjukkan kuih tradisi Kelantan iaitu putu halba yang diinovasikan dengan inti serunding daging.
Bercerita lanjut, dia dibantu bapa angkatnya itu menghasilkan 700 sehingga 800 putu sehari dengan menggunakan tepung ubi kayu sebanyak 18 kilogram (kg) yang siap diproses bersama campuran herba biji halba, serunding daging sekilogram dan gula melaka sekilogram.
“Harga putu halba biasa berintikan gula melaka dijual tiga biji RM2 manakala putu halba serunding daging pula dijual lebih mahal iaitu RM1.50 sebiji.
“Harga jual tinggi kerana kos serunding menelan belanja RM30 setiap setengah kilogram, namun tetap juga mendapat sambutan ramai lebih-lebih lagi ketika hari hujan lebat,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Che Mariah Che Yusof, 48, berkata, dia mengetahui tentang keenakan putu halba serunding daging daripada anaknya dan datang untuk mencuba buat kali pertama.
“Apabila memakannya, saya terus dapat merasakan yang serunding daging ini serasi dengan kuih putu halba sehingga menambahkan rasa lazat selain dapat menghangatkan tubuh badan ketika musim bah.
“Halba itu sendiri mempunyai pelbagai kelebihan terhadap kesihatan lelaki dan wanita seperti melancarkan peredaran darah sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Gunakanlah halba sebagai ubat” ~ Qamus Al-Tibb,” katanya. Sinar