Kerajaan pertimbang lanjut moratorium pinjaman PTPTN

Sebaran :

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas pusingan ke-2 tamat bulan depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung perkara itu.

“Untuk moratorium ke-3, kementerian telahpun mengambil tindakan awal, termasuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan kerana sumber dana daripada kementerian itu.

“Jadi, apa saja tindakan yang dibuat mengenai PTPTN tertakluk kepada kelulusan kementerian itu dan perkara ini akan dibawa untuk pertimbangan sebaiknya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Akmal Nasir (PH-Johor Bahru) mencadangkan kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman PTPTN.

Moratorium pembayaran balik pinjaman PTPTN mula dilaksanakan 1 April hingga 30 Sept lalu, sebelum Putrajaya melanjutkannya selama 3 bulan lagi sehingga akhir tahun ini.

Mengenai had pinjaman PTPTN, Noraini berkata, kerajaan bersetuju menaikkan jumlah pinjaman PTPTN daripada RM6,000 kepada RM8,000 bagi pelajar B40 melanjutkan program diploma.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada simpanan takaful bermula 2021.”

Katanya, kerajaan juga bersetuju menyalurkan wang pendahuluan kepada pelajar institusi pendidikan tinggi swasta B40 berdasarkan syarat kelayakan.


Sebaran :

Leave a Reply