Fikir peluang menang sebelum minta lebih banyak kerusi, Annuar beritahu Umno

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa berkata, Umno perlu memikirkan peluangnya untuk menang di sesebuah kerusi, sebelum meminta PAS dan PPBM memberikan lebih banyak kerusi kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Beliau berkata, Umno berhak bertanding lebih banyak kerusi pada PRU15, jika mengambil kira jumlah jerusi yang dimilikinya ketika ini berbanding rakan sekutunya PAS dan PPBM.

“Saya fikir semua faham Umno akan bertanding kerusi paling banyak, tetapi Umno kena tanya, jangan fikir soal nak banyak kerusi saja, boleh ke kita menang banyak?

“Di Sabah, kita nak banyak, orang bagi banyak, tapi akhirnya menang tak banyak. Apa yang penting, jumlah kerusi yang kita menang banyak,” katanya dalam wawancara Insight Talk bertajuk “Kestabilan kerajaan tunjang Melayu” malam tadi.



Pada Pilihan Raya Negeri di Sabah 26 Sept lalu, Gabungan Rakyat Sabah meraih majoriti mudah dengan memenangi 38 daripada keseluruhan 73 kerusi yang dipertandingkan.

GRS merangkumi Perikatan Nasional yang memenangi 17 kerusi, BN (14 kerusi) dan PBS (7 kerusi).

Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan (29 kerusi), PKR (2 kerusi) dan Upko (1 kerusi) berjaya menawan 32 kerusi.

Calon bebas pula menang di 3 kerusi.



Umno bertanding di 32 kerusi, tetapi hanya memenangi 14 kerusi.

Walaupun sukar, Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan yakin isu pembahagian kerusi boleh diselesaikan dengan baik antara 3 parti itu.

“Saya lama jadi pengerusi perhubungan, terlibat soal memilih calon di Kelantan sampai malam terakhir, esok nak penamaan calon tak selesai lagi, itu sama-sama parti, apatah lagi kalau antara parti lain, ia tak mudah.”

Tetapi, katanya, kerjasama antara 3 parti itu tidak boleh hanya dilihat dari sudut pembahagian kerusi saja, sebaliknya ia lebih meluas, iaitu parti politik Melayu bersatu untuk menjadi lebih kuat dan agenda lebih besar.



“Bila kita muafakat, sudah tentu kena ada tolak ansur, kena ada prinsip kongsi. Bila kongsi, maknanya kena berkorban, kita kena korban, belah sana juga kena korban. Kita jangan putus asa, berusaha mencari titik persamaan.”

Beliau berkata, BN memutuskan akan menggunakan lambang sendiri pada PRU15 nanti.

Mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang parti itu perlu mengkaji semula kerjasama dengan PAS dan PPBM untuk mengelakkan masalah seperti tidak boleh bertolak ansur dalam soal pembahagian kerusi dan perlu merampas kerusi Parlimen Pagoh daripada Muhyiddin Yassin, Annuar berkata, isu siapa yang akan mewakili sesebuah kerusi itu hak rakyat untuk tentukan. FMT

Annuar perlu berhenti dahului presiden soal dasar dan taktikal parti



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker