Klien Boleh Bawa GRO Sendiri..

Kuala Lumpur: Buka pusat hiburan apabila mendapat permintaan atau tempahan khas pelanggan tetap yang dipercayai sahaja.

Malah, premis berkenaan tidak menyediakan wanita pelayan khidmat pelanggan (GRO) namun pelanggan dibenar untuk membawa peneman mereka sendiri.

Itu taktik digunakan sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun kegiatan premis itu yang dipercayai beroperasi sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menyerbu pusat hiburan itu jam 11 malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, penyelia premis lelaki bersama 26 warga asing iaitu seorang lelaki warga Bangladesh, 10 lelaki warga China, tujuh wanita warga China, enam wanita warga Vietnam, wanita warga Korea dan wanita warga Thailand ditahan dalam serbuan itu.

 

PUSAT hiburan yang diserbu dalam operasi di Jalan Ampang, kelmarin.
PUSAT hiburan yang diserbu dalam operasi di Jalan Ampang, kelmarin.

 

Menurutnya, dalam serbuan itu juga, 66 pelanggan tempatan terdiri daripada 44 lelaki dan 22 wanita dikompaun RM1,000 kerana ingkar arahan PKPB.

“Wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan khidmat pelanggan (GRO) dari luar datang bersama pelanggan untuk berhibur.

“Premis ini dipercayai beroperasi sejak PKPB secara tersembunyi dan hanya pelanggan dipercayai sahaja dibenarkan masuk,” katanya.

Nik Ros berkata, pelanggan yang ditahan akan dikenakan kompaun kerana melanggar PKPB.

Nik Ros berkata, polis merampas peralatan pusat hiburan, botol minuman keras, resit dan wang tunai RM268.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) (2020),” katanya.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 32 Akta Eksais 1976, Seksyen 4 (1) (b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan dan Seksyen39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

[VIDEO] Premis Didaftar Restoran Tapi Beroperasi Sebagai Pusat Hiburan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker