Tiada pilihan.. Hotel di Langkawi tawar harga penginapan kadar rendah demi kelangsungan

LANGKAWI: Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Langkawi menawarkan harga penginapan serendah RM50 satu malam bagi menarik pelancong yang dijangka kembali ke pulau peranginan itu susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

Pengerusi MyBHA Cawangan Langkawi Datuk Noorazly Rosly berkata diskaun itu diberikan oleh 70 ahli persatuan yang rata-rata terjejas teruk susulan pelaksanaan PKPB itu.

“Tawaran ini pernah diberikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun ekoran pelaksanaan PKPB, tempahan banyak dibatalkan, bagaimanapun kita terus melanjutkan tawaran seperti dalam tempoh PKPP,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Orang ramai yang merancang untuk bercuti ke pulau itu boleh melayari laman sesawang https://golangkawi.com.my/ untuk melihat harga bilik penginapan yang ditawarkan, katanya.

Beliau turut menyifatkan keputusan kerajaan menamatkan PKPB di Kedah lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu 6 Disember ini sebagai sesuatu yang amat positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi Langkawi.

Sementara itu, pengurus Warisan Saju Enterprise Normilawati Noor Muhamad, 41, berkata penamatan PKPB tersebut diharap dapat menggerakkan semula perusahaan produk berasaskan gamat milik keluarganya.

Suami isteri tipu promosi pakej penginapan ditahan

“Pengusaha ubat tradisional di Langkawi ketika ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila pelancong atau pelanggan dari luar tak boleh masuk dalam tempoh PKPB. Industri ini hampir 100 peratus mengharapkan orang luar, memang ada penduduk setempat yang beli produk berasaskan gamat tetapi bukan dalam kuantiti yang banyak.

“Selain tiada pelancong, pemborong juga tidak dapat masuk berikutan pergerakan yang terbatas, ini juga memberi kesan kepada perniagaan kami. Saya amat berterima kasih dengan keputusan kerajaan menamatkan PKPB di Kedah, ini akan bantu kami bangkit semula selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Jumaat lepas, Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penamatan PKPB berkuat kuasa 21 November di Kedah (kecuali di daerah Kulim), Melaka, Johor dan Terengganu, lebih awal berbanding 6 Disember yang diumumkan sebelum ini. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker