[VIDEO] BSKU Siasat Insiden Pesawat Ringan Mendarat Cemas

PUTRAJAYA – Siasatan terhadap insiden pendaratan cemas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 35 Bonanza di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Sedenak, Johor hari ini akan dilakukan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

Pasukan bomba dan polis trafik menolak pesawat ke tempat yang lebih selamat di Kilometer 49 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, Kulai hari ini. -Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan insiden itu selepas Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Johor menerima panggilan daripada juruterbang pesawat.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, panggilan diterima pada pukul 10.40 pagi daripada juruterbang pesawat yang memohon untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru berikutan menghadapi masalah teknikal.

“Pesawat persendirian yang dikendalikan oleh Premier Air Singapore itu berada dalam penerbangan dari Senai ke Melaka.

“Dua juruterbang warganegara Singapura dilaporkan berada di dalam keadaan yang stabil dan pesawat telah dipindahkan ke lokasi yang tidak menghalang lalu lintas di Lebuh Raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chester berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah menyelesaikan semua tugas-tugas yang diperlukan.

“Siasatan akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Terdahulu, dua juruterbang pesawat ringan jenis Beechcraft Bonanza B5045B terselamat ketika melakukan pendaratan cemas selepas mengalami kerosakan teknikal pada bahagian enjin.

Pesawat buatan Amerika Syarikat itu membuat pendaratan dengan selamat di Kilometer 49 Lebuh Raya Utura-Selatan (PLUS) arah selatan sebelum susur keluar Tol Sedenak kira-kira pukul 11.13 pagi tadi.

Juruterbang pertama, Dr. Yang Kuang Ying, 52, dan pembantunya, Saleehullah Abdul Majid, 41, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. -K! ONLINE

[VIDEO] Pesawat Ringan Mendarat Cemas di PLUS

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker