Pandikar, 6 lain fail petisyen PRN Sabah

Share

Bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia bersama enam yang lain memfailkan petisyen mencabar keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 26 Sep lalu.

Free Malaysia Today (FMT) melaporkan petisyen itu membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Karambunai, Darau, Sindumin, Petagas dan Kukusan.

Portal berita itu memetik sumber pegawai di Jabatan Peguam Negara (AGC) yang enggan dinamakan.

“Petisyen itu difailkan di Mahkamah Pilihan Raya dalam tempoh 21 hari selepas keputusan diwartakan pada 6 Oktober,” kata sumber seperti dipetik portal berkenaan.

Portal itu melaporkan AGC akan mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang dinamakan sebagai responden dalam petisyen berkenaan.

Pandikar merupakan calon di kerusi Pintasan dalam pertandingan enam penjuru, tetapi tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu Fairuz Renddan.

Sumber itu dipetik berkata terdapat dua petisyen difailkan untuk kerusi Sindumin.

“Petisyen pertama difailkan oleh calon yang diisytiharkan tidak layak atas sebab beliau seorang bangkrap, sementara petisyen kedua oleh calon yang tewas dalam pertandingan enam penjuru di situ,” katanya.

Calon Warisan Awang Ahmad Shah menang di kerusi berkenaan.

Antara yang memfailkan petisyen ialah calon Warisan, Ahmad Jais Oteng yang tewas di tangan calon BN-Umno Yakub Khan dengan majoriti 16 undi dalam pertandingan tujuh penjuru di kerusi Karambunai.

Turut memfailkan petisyen, calon BN-Umno di kerusi Darau, Jumat Idris yang tewas di tangan calon Warisan Azhar Matussin dengan majoriti 562 undi dalam pertandingan enam penjuru di kerusi itu.

‘Petisyen calon mufti Wilayah Persekutuan amalan tidak sihat’

Satu petisyen difailkan untuk kerusi Kukusan, yang dimenangi oleh calon Warisan Rina Jainal.

FMT melaporkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Alwi Abdul Wahab akan menjadi hakim pilihan raya bagi kerusi Sindumin, sementara Dean Wayne Daly, yang bertugas di Miri akan mendengar petisyen bagi DUN Petagas.

Turut dilaporkan, mahkamah belum menetapkan tarikh pengurusan kes untuk baki empat lagi kes.

Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihanraya menetapkan bahawa semua petisyen pilihan raya hendaklah diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas ia difailkan.

Dalam PRN Sabah tempoh hari, Gabungan Rakyat Sabah (BN-PN-PBS) menang di 38 kerusi, manakala Warisan Plus (Warisan-DAP-PKR-Upko) pula menang 32 kerusi. Tiga lagi kerusi dimenangi calon bebas.

Leave a Reply