‘Petisyen calon mufti Wilayah Persekutuan amalan tidak sihat’

Kewujudan petisyen dalam pemilihan mufti Wilayah Persekutuan adalah satu amalan yang sangat tidak sihat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata, semua pihak diharap menghormati bidang kuasa dan hak Yang di-Pertuan Agong untuk memilih calon mufti yang sesuai.

“Setakat ini kita belum putuskan calon yang sesuai dan saya harap semua pihak menghormati kerana itu adalah hak Yang di-Pertuan Agong untuk melantik.

“Dan satu budaya yang sangat tidak sihat berlaku dengan adanya undi sokongan, petisyen dan sebagainya, itu bukan amalan biasa. Kita harap perkara itu perlu dihentikan, kerana ia bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada media ketika diminta mengulas pelantikan mufti Wilayah Persekutuan yang hangat diperkatakan kini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ringkas penyampaian sumbangan Covid-19 kepada pusat pengajian pondok negeri Kelantan di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, satu petisyen diwujudkan bagi menyatakan sokongan kepada pendakwah bebas, Habib Ali Zaenal Abedin al-Hamid supaya dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Zulkifli Mohamad yang kini dilantik sebagai menteri agama.

Sementara itu diminta mengulas pertemuan Zulkifli dengan beberapa tokoh agama yang didakwa melanggar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP), Ahmad Marzuk berkata, pertemuan itu berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP.

“Pertemuan itu masih lagi dalam kerangka kita menghormati SOP PKP, kerana mereka yang hadir ke pejabat menteri perlu melalui SOP, termasuk saringan kesihatan.

“Yang datang itu kita kena test semua, yang demam kita tak benar masuk.

“Cuma barangkali gambar itu membawa satu imej (gambar) yang nampak duduk dekat, tapi sebenarnya jauh,” katanya bagi menjelaskan pertemuan antaranya dihadiri pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaimi Ramle dan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Fathul Bari Mat Jahya, baru-baru.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker