Mujahid disiasat di bawah 3 akta, termasuk hasutan
Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa antara lain disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung ucapannya pada Mac di Parit Buntar yang mempertikai pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu bahawa selain Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, beliau juga disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
“Saya dipanggil bantu siasatan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia atas ucapan yang saya buat pada Mac di Parit Buntar.
“Siasatan ke atas saya (juga) didakwa di bawah Akta Hasutan,” katanya kepada media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas selesai diambil keterangan hari ini.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu mempersoalkan kenapa siasatan itu dibuat selepas beberapa bulan, selain polis mengambil masa lama untuk membuka kertas siasatan.
“Saya pelik kerana Akta Hasutan itu setahu saya semasa saya dalam PH kita tak guna walaupun ada, malang hari ini saya tak tahu kenapa akta ini dipakai.
“Ucapan saya buat di kawasan saya pada Mac setelah jatuhnya kerajaan PH dan setelah selesai Muhyiddin (dilantik) sebagai PM.
“Saya tidak tahu kenapa ia memakan masa sangat panjang. Kini baru dibuat siasatan,” katanya.
Mujahid, yang hadir bersama peguam beliau, selesai memberi keterangan pada jam 7.20 petang tadi.
Beliau disoal siasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) lebih sejam setelah tiba di Bukit Aman pada jam 5.30 petang.
Mac lepas, media melaporkan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang terhadap Mujahid dan ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung kenyataan mereka yang dianggap mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8.
Ini berikutan kemelut politik yang berlaku ketika itu dan membawa kepada tumbangnya kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad. FMT