Kes Altantuya: Permohonan Najib didengar 8 Disember ini
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menetapkan 8 Disember ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencelah dalam prosiding semakan kehakiman bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri yang ingin mengetepikan sabitan serta hukuman mati terhadapnya atas pertuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Peguam Sarah Abishegam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu ketika dihubungi berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron turut menetapkan tarikh sama untuk mendengar semakan kehakiman Azilah.
Sebelum ini, pendengaran kedua-dua permohonan ditetapkan pada 21 Oktober, namun tarikh itu dikosongkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dilanjutkan sehingga 9 November ini.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azmi Mashud hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam J Kuldeep Kumar mewakili Azilah.
Tangguh dahulu pilihan raya, kalau tidak boleh patuh 3 prinsip
Azilah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman pada 5 Disember tahun lepas bersama-sama akuan berkanun setebal 32 muka surat yang mendakwa bahawa arahan untuk membunuh Altantuya adalah daripada Najib yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Azilah, 43, meminta sabitan serta hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 diketepikan dan perintah supaya kes itu dibicarakan semula.
Pada Disember tahun lalu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada media bahawa anak guamnya iaitu Najib menyangkal semua dakwaan Azilah itu.
Azilah dan Sirul Azhar Umar, 47, disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pertuduhan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006.
Bagaimanapun, mereka dilepas dan dibebaskan Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas membenarkan rayuan kedua-dua anggota UTK itu.
Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah melakukan jenayah itu. – Bernama
Pengeluaran KWSP terhad kepada RM10k sahaja, tolonglah bantu rakyat – Najib
You must be logged in to post a comment.