KKM perlu 270 bekas pesakit Covid-19 untuk kajian tindak balas antibodi

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan seramai 270 bekas pesakit bagi membantu kajian mengenai tindak balas antibodi neutralisasi kepada pesakit Covid-19 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebelum ini kajian sedemikian pernah diadakan dalam kalangan pesakit Covid-19 di Sungai Lui, Hulu Langat namun didapati kehadiran antibodi dalam badan mereka antara 18 hingga 20 peratus sahaja selepas tiga bulan dijangkiti.

“Sekarang kita perlukan lebih ramai lagi pesakit yang sudah pulih. Kita anggarkan untuk satu kajian bermakna yang dapat kita tafsirkan dengan baik kita memerlukan seramai 270 individu yang dijangkiti dan pulih.

“Tetapi setakat ini baru ada 106 individu yang didaftarkan dalam kajian itu,” katanya pada sidang media hari ini.



Pada pertengahan Oktober lalu, Noor Hisham berkata, laporan kajian yang dijalankan sebelum ini mendapati antibodi pesakit yang sudah pulih merosot dan hanya bertahan selama tiga bulan sahaja.

Sebelum ini, beliau menerusi Facebook rasminya menjemput bekas pesakit Covid-19 menyertai penyelidikan yang dijalankan penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Penyelidikan bertajuk Kajian Membujur (Longitudinal Study) tindak balas antibodi neutralisasi dalam kalangan pesakit Covid-19 di Malaysia itu bertujuan mengetahui paras antibodi neutralisasi (imuniti) di dalam darah yang boleh menghalang kuman Covid-19 daripada menjangkiti pesakit yang pernah dijangkiti sebelum ini.

Kajian berkenaan juga katanya, memerlukan penyelidikan khusus mengenai sejarah dan pengalaman pesakit melalui rawatan.



Antara lain adalah mengenai kesan kepada organ tertentu bekas pesakit sama ada mempunyai kesan sampingan atau kesan jangka panjang. MG

#Covid-19 : Kluster antibodi rendah boleh dijangkiti semula



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker