Saarani nafi ada komplot tukar MB Perak
Umno Perak menafikan dakwaan ia berkomplot dengan parti pembangkang di negeri itu untuk merampas jawatan menteri besar yang disandang Timbalan Presiden PPBM Ahmad Faizal Azumu.
Pengerusinya Saarani Mohamad berkata, dakwaan itu hanya khabar angin yang tidak berasas dan sengaja digembar-gemburkan pihak tidak bertanggungjawab.
“Tiada siapa jumpa saya, tiada siapa yang tawar (sokongan) kepada saya, tiada siapa yang menghasut saya. Tiada apa-apa yang berlaku,” katanya pada sidang media mengenai Geran Usahawan Perak (Gerup) di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Saarani, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, mengulas laporan sebuah portal tempatan hari ini yang mendakwa Adun Kota Tampan itu mempunyai cukup sokongan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.
Dalam laporan itu, Saarani dikatakan mendapat sokongan daripada 4 Adun PKR, DAP dan PAS untuk dilantik sebagai menteri besar Perak yang baharu.
Kerajaan negeri Perak yang ditadbir PN terdiri daripada 25 Adun BN yang semuanya Umno, PPBM (5), PAS (3) sementara baki kerusi DUN dimiliki DAP (16), Amanah (5), PKR (3) serta Gerakan dan bebas masing-masing 1.
Menjelas lanjut, Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, berkata tiada sebarang konflik antara dirinya dengan Ahmad Faizal khususnya melibatkan hal pentadbiran di peringkat negeri.
“Sekarang tanggungjawab kita menumpukan perhatian dan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan sekarang ini adalah kerajaan yang akan membela nasib mereka,” katanya.
Selain itu, beliau berkata fokus utama kerajaan negeri ketika ini juga adalah untuk mengekang penularan wabak Covid-19 seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Kita menerima baik titah baginda supaya semua orang memberi perhatian kepada usaha untuk membasmi Covid-19 dan kurangkan berpolitik. Jadi, selaku rakyat kena akur dengan titah ini,” katanya. Bernama
You must be logged in to post a comment.