Jangan cabar saya – Saarani

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad memberi amaran kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri supaya tidak mencabar beliau dalam isu pendedahannya mengenai gerakan oleh Exco kerajaan negeri untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Saarani yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, UMNO tidak mempunyai apa-apa kepentingan apabila mendedahkan rancangan tersebut kerana tidak berminat mengambil alih kerajaan negeri dengan cara ‘mencuri’ wakil rakyat PH.
Menurutnya, jika pemimpin PH terus mengasak dan menuding jari terhadapnya, beliau sedia untuk mendedahkan nama Exco yang mahu menjatuhkan Menteri Besar dalam Persidangan DUN Perak yang bermula hari ini.
“Jadi nasihat saya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut, sila berjumpa dengan Exco berkenaan dan tanya sama ada betul atau tidak pada 2 hari bulan (November) kamu jumpa ADUN UMNO, betul atau tidak pada 15 hari bulan kamu jumpa ADUN UMNO, betul atau tidak pada 22 hari bulan kamu jumpa ADUN UMNO, tanya seorang demi seorang, daripada 10 Exco pasti akan mengaku.
“Jangan cabar saya. Saya pun tidak ada hendak simpan-simpan benda ini, dalam dewan nanti saya jawab (dedah nama),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang akan membuat laporan polis setelah mengesahkan wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Saarani mengalu-alukan tindakan tersebut.
“Saya tidak takut malah sedia mengheret semua mereka yang terlibat dalam rancangan untuk menjatuhkan Menteri Besar jika laporan polis dibuat, lagi cepat laporan polis dibuat lagi bagus,” katanya.
Mengenai dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi ditawarkan jawatan Menteri Besar oleh UMNO jika beliau keluar PH bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu, Saarani menafikan dakwaan tersebut.
Menurutnya, beliau tidak pernah menghantar wakil untuk berjumpa Asmuni yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak seperti yang didakwa sebaliknya mendedahkan Amanah yang sebenarnya cuba memujuk wakil rakyat UMNO dalam usaha mendapatkan sokongan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.
Katanya, beliau terkejut apabila ada utusan daripada Amanah yang berjumpa dengan beberapa orang ADUN UMNO kerana Amanah mahu sekurang-kurangnya dua ADUN UMNO untuk menyokong undi tidak percaya.
“Saya jawab secara spontan, jika Amanah nak jadi Menteri Besar, ambillah. Kalau mereka hendak jadi Menteri Besar, tidak perlu heret orang UMNO menyertai mereka sebab Amanah parti kecil, ada enam kerusi sedangkan UMNO 25 kerusi, mengapa UMNO perlu lompat ke parti yang kecil,” tegasnya.
Utusan