Perniagaan, operasi FGV telah bersedia bagi penamatan LLA
KUALA LUMPUR, 29 Okt — FGV Holdings Berhad (FGV) hari ini mengulangi bahawa pihaknya masih belum menerima notis bertulis daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengenai penamatan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).
Syarikat pengeluar minyak sawit mentah terbesar negara itu berkata bagaimanapun perniagaan dan operasi FGV telah bersedia untuk kemungkinan itu.
Menerusi kenyataan hari ini, FGV berkata setelah menerima notis rasmi daripada FELDA seperti yang disyaratkan berdasarkan LLA itu, pihaknya akan mengikut prosedur yang telah digariskan dalam LLA untuk memulakan proses penamatan dan menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar kepadanya yang akan mengambil masa selama 18 bulan untuk diselesaikan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menerusi kenyataan berkata penamatan LLA dan cadangan penerbitan sukuk oleh Felda bernilai RM9.9 bilion untuk melaksanakan pelan pemulihan merupakan antara cadangan yang telah diluluskan oleh Kabinet.
FGV berkata oleh itu, strategi jangka panjang keseluruhan untuknya terus berkembang dan mengukuhkan aktiviti perniagaan bernilai tinggi, yang menumpukan makanan dan produk pengguna berjenama, tetap utuh dan berpotensi pantas bagi memberikan pulangan dijangkakan lebih tinggi kepada pemegang saham susulan penamatan LLA.
“FGV, akan sentiasa melindungi kepentingan para pemegang saham dan kami akan membuat pengumuman yang sewajarnya pada waktu yang sesuai sekiranya berlaku perkembangan mengenai perkara ini,” menurut syarikat itu.
LLA tersebut merujuk kepada ladang-ladang milik Felda seluas 350,733 hektar yang dipajakkan kepada FGV selama 99 tahun bermula 1 Nov, 2011.
FGV berkata jumlah pampasan yang dijangka perlu dibayar kepadanya susulan penamatan LLA adalah RM3.5 bilion hingga RM4.3 bilion berdasarkan penilaian dalaman yang akan berbeza bergantung kepada prestasi kewangan FGV bagi 2020 dan 2021 serta pelbagai faktor lain.
Ia turut memberi jaminan bahawa rantaian bekalan ladang FGV tetap utuh kerana ladang-ladang di bawah LLA hanya mewakili 30 peratus Tandan Buah Segar (TBS) yang diproses di 68 kilang kelapa sawit FGV.
“Oleh kerana lokasi kilang kelapa sawit yang berdekatan dengan ladang-ladang LLA, kami tidak menjangkakan sebarang perubahan kepada susunan bekalan TBS sekarang.
“Rantaian nilai bersepadu perladangan FGV yang selebihnya dalam perniagaan pertengahan dan hiliran akan kekal tidak terganggu dengan penamatan LLA,” kata FGV.
— BERNAMA