FGV perjelas isu tanah di bawah LLA dengan FELDA

KUALA LUMPUR, 27 Okt — FGV Holdings Bhd (FGV) menjelaskan bahawa tanah yang dipajak kepada FGV di bawah Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) antara syarikat itu dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menetapkan bahawa aset yang terlibat adalah harta tanah yang tidak termasuk  tanah yang diusahakan oleh peneroka Felda sedia ada.

Perjanjian itu yang dimeterai pada 1 Nov, 2011, juga tidak termasuk kilang minyak sawit FGV.

“Kami ingin memaklumkan bahawa pada masa ini, Felda masih belum menghubungi FGV berkaitan LLA itu. FGV bersedia mengikuti prosedur yang digariskan dalam LLA itu, sebaik sahaja kami menerima notis daripada Felda berkaitan perkara ini.

“Kami akan membuat pengumuman yang sewajarnya pada waktu yang sesuai sekiranya terdapat perkembangan penting berhubung perkara ini,” kata FGV dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 20  Okt, dilaporkan bahawa Felda masih belum menghubungi FGV untuk berunding perkara berkaitan dengan LLA itu. Sebelum ini dilaporkan bahawa Felda berhasrat untuk mengambil semula sejumlah 350,000 hektar tanah yang dipajakkannya kepada FGV untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya.

Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh berkata perkara itu telahpun dipersetujui oleh lembaga pengarahnya dan agensi berkenaan sedang menunggu arahan kerajaan sebelum rundingan boleh dimulakan dengan FGV.

Menurut FGV, LLA itu juga menetapkan amaun yang perlu dibayar kepada Felda ialah RM248 juta (berdasarkan kepada hektar) ditambah 15 peratus daripada keuntungan operasi daripada tanah LLA setiap tahun.

Bagaimanapun, sejak 2016, berlaku pengurangan pembayaran tetap LLA kepada Felda berikutan pelarasan dalam hektar yang dipajak.

“Pengurangan ini disebabkan beberapa faktor, termasuk pengambilalihan tanah oleh Felda, penyerahan tanah kepada Felda bagi tujuan perlombongan, pencerobohan oleh pihak ketiga, pertindihan tanah kilang serta proses penyelarasan antara hak milik tanah dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM),” kata syarikat itu.

Ketika ini saiz tanah Felda berjumlah lebih daripada 850,000 hektar dan tanah yang dimiliki oleh peneroka Felda berjumlah 450,632 hektar. Tanah milik Felda yang dipajak kepada FGV berjumlah 350,733 hektar.

— BERNAMA

Cadangan FELDA ambil semula ladang, lonjak harga saham FGV

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker