Daripada juruterbang pesawat kepada ‘pilot’ bermotosikal

Khairul Anwar ketika bertugas sebagai juruterbang (gambar kiri) dan sekarang menjadi penghantar makanan.

 

PUTRAJAYA: Selepas beberapa ketika, Khairul Anwar Ajid, 40, akhirnya dapat menerima hakikat bahawa bahana COVID-19 benar-benar sudah menimpa dirinya. Sektor penerbangan yang diceburinya tidak dapat lagi beroperasi seperti biasa dan dia kini berstatus cuti tanpa gaji.

Khairul Anwar sedar bahawa manusia tidak hidup dalam kenangan. Masa kini adalah yang sebenar dan perlu ditempuh untuk menuju masa depan. Dengan iltizam itu, beliau yang biasa mendapat pendapatan lumayan sebagai seorang kapten pesawat, bingkas bangun mencari kemahiran baharu dan melakukan pelbagai kerja untuk menyara diri dan keluarga.



Sejak sektor penerbangan melalui masa suram, Kapten Khairul tidak kekok meneroka bidang baharu sebagai penghantar makanan, ejen makanan sejuk beku, perunding takaful dan penjual buku dalam talian.

Bapa kepada cahaya mata tunggal berusia lapan tahun mengakui terpaksa melakukan tugas berkenaan berikutan sukar memperoleh pekerjaan dalam industri sama berikutan kebanyakan syarikat penerbangan lain menghadapi masalah sama, berikutan banyak negara menutup sempadan antarabangsa bagi membendung penularan virus.

“Bukan saya tidak cuba mengisi jawatan kosong di pelbagai portal dalam talian namun setakat ini belum ada syarikat tampil menawarkan temu duga. Takkan mahu tunggu saja, seingat saya kali terakhir penerbangan adalah ke Dhaka pada 3 Mac lalu, selepas itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.

“Jadi kerjaya penghantar makanan adalah paling praktikal dan jika dipanggil bertugas semula saya tiada sebarang kekangan. Lagipun saya biasa menunggang motosikal, jadi tidaklah janggal sangat kerja itu biarpun dari ruang udara ke jalanan,” katanya kepada BH.



Kegigihan Khairul Anwar itu mendorong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengungkapkan namanya ketika beliau mengumumkan Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: KitaPRIHATIN pada 23 September lalu.

 

 

 



Khairul Anwar (kiri) bersama rakannya yang juga juruterbang dengan kerjaya baru sebagai penghantar makanan sekitar Putrajaya.
Khairul Anwar (kiri) bersama rakannya yang juga juruterbang dengan kerjaya baru sebagai penghantar makanan sekitar Putrajaya.

 

Perdana Menteri turut menyebut beberapa nama lain yang kehilangan pekerjaan apabila pandemik COVID-19 menjejaskan ekonomi Malaysia dan global. Perdana Menteri menyebut nama mereka sebagai tanda sokongan dan dorongan atas sikap mereka yang tidak mudah mengaku kalah selepas ditimpa musibah. Ramai yang kehilangan kerja beralih ke bidang perniagaan atau mencuba kemahiran baru.

Sehubungan itu, Khairul Anwar berkata, selain iltizamnya berusaha mencari rezeki, bantuan kerajaan juga sangat membantu. Beliau mengakui bernasib baik berikutan layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) disebabkan terpaksa bercuti tanpa gaji.

Dengan itu, dia juga bersyukur apabila Perdana Menteri mengumumkan pemberian BPN 2.0 yang diagihkan secara berperingkat mulai 19 Oktober ini yang akan memanfaatkan 10.6 juta penerima termasuk dirinya.



“Di samping bekerja sebagai penghantar makanan, saya dengan seorang rakan, mengusahakan kambing perap berjenama ‘KeptzK’ untuk menambah pendapatan.

“Biarpun sekarang ini tiada penerbangan, saya tetap perlu sentiasa bersedia dan masih mengikuti latihan dan melalui penilaian lazim sebagai juruterbang dan memperbaharui kelayakan penerbangan dari semasa ke semasa,” katanya yang bertugas lebih sembilan tahun dalam dunia penerbangan.

 

Khairul bersama dengan rakan, mengusahakan kambing perap berjenama ‘KeptzK’. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Khairul bersama dengan rakan, mengusahakan kambing perap berjenama ‘KeptzK’. – Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

 



Khairul Awnar sebelum itu pernah bertugas sebagai pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Jadi sedikit sebanyak saya bersedia berikutan ada pengalaman kerja lain. Namun begitu, kerjaya penghantar makanan lebih mencabar dan berisiko tinggi berbanding mengendalikan pesawat.

“Ini kerana pesawat mempunyai sistem kecemasan khusus di udara manakala menunggang motosikal di jalanan tidak tahu bahaya bakal menimpa.

“Dari segi pendapatan juga jauh beza kerana saya tidak terlalu mengejar penghantaran hingga jauh malam kerana masa bersama keluarga adalah segala-galanya,” katanya.



Berikutan kini sudah bergelar usahawan mikro, Khairul Anwar juga mengintai peluang untuk memohon bantuan Geran Khas PRIHATIN (GKP) berjumlah RM3,000 yang ditawarkan kerajaan dalam membantu pihak berkenaan meringankan beban kewangan akibat penularan wabak COVID-19-BH

 

Bekas juruterbang maut terjun tingkat 12

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker