Strategi UMNO atau peluru makan diri?
POLEMIK politik Malaysia, jika dipersembahkan dalam bentuk filem atau drama, sudah pasti berpotensi memenangi anugerah Oscar atau Golden Globe Award sebagaimana filem Parasite dari Korea Selatan pada tahun 2019.
Plot penceritaannya penuh kejutan, drama, berpusing-pusing dan aksinya penuh mendebarkan serta para pelakonnya sentiasa mengujakan penonton sama ada pelakon berstatus veteran atau baharu.
Bahkan, pengarah filem Hollywood tersohor sekalipun mungkin tidak akan menyangka sebegitu rumit plot drama politik Malaysia yang menyaksikan pemainnya sentiasa ‘bekerja keras’ membentuk strategi politik baharu.
Pada 13 Oktober lalu, drama politik negara mencapai satu percaturan baharu apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi menyerahkan bukti sokongan majoriti ahli Parlimen terhadapnya.
Hasrat Anwar membentuk kerajaan baharu itu bukan satu perkara yang pelik jika mengambil sejarah politik bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang sudah lama menunjukkan cita-cita hendak menjadi Perdana Menteri.
Lebih parah, gerakan politik terbaharu Anwar itu dilakukan pada saat negara berdepan ancaman gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) yang semakin serius.
Meskipun hasil pertemuan Anwar dengan Seri Paduka Baginda belum mengesahkan apa-apa, namun pelbagai andaian dan jangkaan dikemukakan golongan rakyat sama ada di dada akhbar hingga kedai kopi.
Tidak cukup dengan itu, kerumitan politik negara semakin terserlah apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan parti itu memutuskan kemungkinan mengambil pertimbangan menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional.
Lebih menarik, Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan UMNO akan memberikan syarat baharu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya mahu meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.
“Selain itu, UMNO akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) agar ia didaftarkan dengan segera sebagai sebuah gabungan politik sah,” katanya pada mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur malam kelmarin.
Semakin menarik
Langkah politik terbaharu UMNO sekali gus mengundang persoalan mengenai bentuk permainan politik yang cuba diketengahkan parti itu serta kesannya kepada keutuhan kerajaan PN.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub mengakui tuntutan terkini UMNO itu adalah kesinambungan rasa ketidakpuashatian terhadap cara layanan Muhyiddin selaku Perdana Menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Bermula dengan pemberian jawatan Kabinet kurang penting, isu pembahagian kerusi menimbulkan perbalahan sehingga konflik pelantikan Ketua Menteri dan sabotaj kerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, UMNO merasakan parti itu seolah-olah sedang dibuli oleh Bersatu.
“Dakwaan layanan tidak adil Muhyiddin juga menyebabkan pucuk pimpinan UMNO disalah tafsir oleh majoriti akar umbi parti sebagai terlalu mengalah kepada Bersatu,” katanya kepada Sinar Harian.
Dari satu sudut lain pula, tuntutan UMNO itu boleh dianggap sebagai satu bentuk kata dua atau ugutan bagi memaksa Bersatu memberikan konsesi ke arah mengukuhkan kerajaan campuran PN yang rapuh.
Kata dua UMNO itu lebih memberi isyarat kepada akar umbi bahawa parti itu sedia berlawan dengan Bersatu mahupun Pas yang kini dilihat lebih memihak Bersatu jika perlu.
“Selepas PRN Sabah, akar umbi UMNO berasa amat gusar parti mereka dipinggirkan dan berkemungkinan ditelan perlahan-lahan oleh Bersatu.
“Kalau tidak menunjukkan persediaan untuk berlawan, mungkin lebih ramai ahli akan meninggalkan parti bagi menyertai Bersatu atau Pas pula.
“Namun, sekiranya Muhyiddin tunduk kepada desakan UMNO, Kabinet dijangka dirombak sebelum sidang Parlimen berlangsung pada 2 November hadapan, dengan penambahan beberapa menteri dan timbalan menteri daripada parti itu akan berlaku,” kata saintis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat.
Di sebalik kejutan gerakan politik terbaharu UMNO itu, terdapat pandangan keputusan itu sebenarnya bukan bersifat kolektif kerana ia tidak dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu terlebih dahulu.
Bagi penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib, keputusan UMNO itu secara tidak langsung menunjukkan ketidakselarian pendapat antara pemimpin-pemimpin dalam parti itu.
“Saya rasa keputusan UMNO semalam bersifat terburu-buru dan seolah-olah mengambil kesempatan di atas polemik rancangan politik yang dibawa Anwar.
“Atas kertas, kelihatan tindakan itu sekadar menguntungkan ahli-ahli Parlimen UMNO yang berkait kes mahkamah sahaja sekiranya dipersetujui Muhyiddin,” katanya.
UMNO tersilap langkah
Satu lagi perkara yang berkemungkinan tidak akan berlaku daripada langkah politik terkini UMNO itu adalah penyertaan parti itu dalam rancangan Anwar.
Bahkan, Mustapha turut menjangkakan UMNO akan mengambil langkah drastik keluar daripada kerajaan PN dan bersendirian bersama koalisi asal, Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Namun, sekiranya berlaku juga pemberian sokongan kepada Anwar, itu adalah berbentuk persendirian dan bukan en bloc.
“Mungkin juga satu solusi berbentuk pelantikan Perdana Menteri interim akan dikemukakan Seri Paduka Baginda bagi menyelesaikan isu ketidaktentuan politik negara dengan Muhyiddin akan diminta meletak jawatan sekiranya terbukti hilang majoriti,” katanya.
Bagi Kartini, sekiranya UMNO berterusan mahu menunjukkan mereka lebih dominan berbanding parti-parti lain dalam kerajaan PN, tindakan itu tidak akan memberi imej lebih baik kepada rakyat.
Jelasnya, langkah terkini UMNO pada saat Covid-19 semakin mengganas memberi petunjuk parti itu seolah-olah tidak ada beza dengan Anwar dari segi usaha untuk mencapai kuasa politik.“Adalah lebih baik UMNO mengemukakan penawaran perbincangan (bargaining offer) dan mediasi antara parti itu, Pas dan Bersatu bagi mencapai kata sepakat untuk meneruskan kerjasama politik mendepani PRU15.
“Saya juga lihat peluang UMNO menyertai Anwar hampir pasti tiada, namun jika parti itu bertegas hendak menjadi ‘Abang Long’ dalam PN, mereka berpotensi besar akan kehilangan sokongan pengundi Melayu Islam kelak,” katanya.
You must be logged in to post a comment.