Jalan terbaik untuk politik Melayu

Share

DATUK Seri Nazri Aziz telah mengeluarkan satu cadangan yang bernas, atau sekurang-kurangnya yang saya amat bersetuju apabila beliau mencadangkan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali kepada UMNO dan diangkat menjadi Presiden UMNO.
Beliau memberi empat alasan.

Pertama, Muhyiddin tidak mengkhianati UMNO kerana beliau tidak meninggalkan parti, sebaliknya dipecat. Kedua, ia akan mengukuhkan parti terbesar orang Melayu itu. Ketiga, beliau tidak akan kembali dengan tangan kosong tetapi dengan jawatan Perdana Menteri. Keempat, ia akan dapat menyelesaikan masalah pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas.

Beliau juga mencadangkan sekiranya Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO, jawatan Presiden parti juga patut diserahkan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Hujah beliau ialah secara tradisinya, Perdana Menteri merupakan Presiden UMNO manakala pemimpin dan ahli parti perlu menerima dengan tangan terbuka.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan alasan-alasan pertama, kedua dan ketiga Nazri. Mengenai alasan keempat, sambil saya bersetuju ia akan mengurangkan masalah pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas, ia juga akan mengurangkan masalah pembahagian kerusi UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengenai alasan-alasan pertama, kedua dan ketiga, perlu ditekankan bahawa beliau dipecat, bukan keluar daripada parti dan hendak masuk semula seperti yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, beberapa kali.

Kedua, beliau kembali dengan membawa bersamanya jawatan Perdana Menteri yang UMNO sendiri tidak berjaya memenangi, yang diperoleh dengan sokongan ahli-ahli Parlimen parti-parti lain. Sekembalinya kepada UMNO, ahli UMNOlah yang menjadi Perdana Menteri.

Kita bincangkan mengenai pembahagian kerusi terlebih dahulu. Dalam perkara ini, saya merujuk pembaca kepada rencana saya bertajuk Pembahagian Kawasan Pilihan Raya Antara Parti-parti Komponen PN Dalam PRU15 yang disiarkan pada 22 Jun lalu. Ringkasnya, UMNO dan Pas adalah dua buah parti Melayu-Islam yang tertua, terbesar dan mempunyai jentera pilihan raya yang teruji.

Walaupun Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU14, UMNO tetap menjadi parti yang memenangi bilangan kerusi Parlimen terbanyak iaitu 54 kerusi. Dalam PRU14, sebahagian pengundi Melayu mengundi PH kerana terpengaruh dengan kempen membenci Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa memikirkan akibatnya.

Dalam PRU14, Bersatu menang kerana sokongan padu orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, di samping orang Melayu yang marah itu dan kesilapan UMNO dan Pas bertanding melawan sesama sendiri di kawasan yang ditandingi Bersatu. Namun demikian, Bersatu hanya mampu memenangi 13 kerusi.

Jika Bersatu bertanding sendiri dalam PRU15, ia akan terkubur. Ia tidak boleh mengharapkan undi orang bukan Melayu lagi. Di kawasan Melayu, ia tidak boleh mengatasi kombinasi UMNO dan Pas. Maka, ia akan terpaksa menumpang ihsan UMNO dan Pas. Kehadiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga tidak membantu. Kumpulan beliau sendiri berada dalam keadaan yang sama.

Maka, kehadiran Bersatu dalam muafakat UMNO-Pas menambahkan lagi kesulitan pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas dalam PRU15. Bagaimana masalah itu mungkin berkurangan jika Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu kembali kepada UMNO?

Pembahagian kerusi

Dalam rencana saya itu, berdasarkan Bersatu kekal sebagai sebuah parti dalam PN, saya mencadangkan supaya UMNO+Pas sebagai satu kumpulan, menyelesaikan isu pembahagian kerusi itu dengan Bersatu terlebih dahulu sebelum membahagikan yang lainnya, di antara mereka.

Jika Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu menyertai UMNO, maka perlulah diselesaikan terlebih dahulu pembahagian antara UMNO dan Pas sebab hanya dua kumpulan yang tinggal iaitu UMNO (termasuk bekas Bersatu) dan Pas.

Selepas itu terserahlah kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan bekas Bersatu itu menentukan siapa akan bertanding di mana. Saya fikir, kembalinya Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu kepada UMNO bukan lagi satu pilihan, tetapi satu-satunya jalan bagi Bersatu mengelak daripada terkubur. Hari ini, modal Bersatu hanya ada satu: jawatan Perdana Menteri. Tanpa jawatan itu ia akan berkecai.

Saya fikir, seperti yang dicadangkan oleh Nazri, UMNO hendaklah menerimanya dengan tangan terbuka dan memberikan jawatan Presiden UMNO kepada beliau sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Jika beliau tidak dipecat, saya fikir selepas Najib, besar kemungkinan beliaulah yang akan menjadi Presiden UMNO dan, jika BN menang pilihan raya umum, beliaulah yang akan menjadi Perdana Menteri.

Sekarang beliau membawa balik jawatan Perdana Menteri, maka eloklah jawatan Presiden UMNO diberi kepada beliau. Itu pun saya cadangkan untuk satu penggal sahaja. Selepas itu, biarlah ada pertandingan bebas untuk jawatan itu.

Dengan cara itu, UMNO boleh disifatkan sebagai memberi pampasan kepada Muhyiddin akibat pemecatannya itu.

Najib sepatutnya menerima cadangan ini. Beliau eloklah meneruskan apa yang dilakukannya sekarang. Tumpukan kepada kes-kes yang dihadapinya dan tolong memperkuatkan semula UMNO tanpa memegang jawatan eksekutif di dalamnya.

Beliau tidak boleh lari daripada tanggungjawab menjadi sebab utama kekalahan UMNO/BN dalam PRU14. Eloklah beliau menghabiskan umurnya membina semula UMNO setelah beliau mendapat faedah daripada UMNO semenjak muda.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga eloklah mengikut teladan Najib. Pada masa ini, eloklah beliau menumpukan perhatian kepada kes-kes yang dihadapinya.

Saya percaya ada pemimpin-pemimpin UMNO dan Bersatu yang kurang senang dengan cadangan ini. Tetapi, alasan mereka adalah sama dan hanya satu: kepentingan diri.

Mereka khuatir mereka akan kehilangan kedudukan mereka dalam parti dan kemungkinan dilantik ke jawatan-jawatan dalam kerajaan tempatan, malah kemungkinan menjadi calon DUN dan Parlimen. Itu bukanlah alasan yang sepatutnya menjadi penentu dalam membuat keputusan sebesar itu.

Parti-parti lain yang menjadi anggota PN juga mungkin berasa kurang senang dengan cadangan ini. Saya hanya dapat fikir satu sebab mengapa mereka berpendapat demikian: mereka takut UMNO menjadi terlalu kuat. Tetapi, kita telah lihat, UMNO kuat selama 60 tahun. Parti-parti kecil tidak takut mendekatinya untuk menjadi ahli BN.

Mereka, termasuk parti-parti besar seperti MCA dan Gerakan, tidak lari kerana UMNO besar dan kuat. Malah, semua hendak bernaung di bawahnya. Mereka cuma lari apabila UMNO berkecai dan lemah.

Maka itu bukanlah hujah yang sah (valid). Yang lain saya tidak tahu. Mungkin mereka mengharapkan Presiden parti mereka juga akan menjadi Perdana Menteri. Mengenai hujah itu, kedua-dua Pakatan Harapan dan PN telah memberi jawapan: Perdana Menteri kerajaan PH dan PN bukan datang daripada parti yang mempunyai kerusi terbanyak. Maka, hujah itu juga tidak sah (valid).

Perpaduan

Bagi orang Melayu/Islam, dalam membuat keputusan mengenai isu ini, fokus hendaklah diberi kepada perpaduan Melayu/Islam. Kita tidak patut malu atau berasa bersalah memikirkan demikian. Setiap kaum di dunia berfikir demikian. Cuma, jika mereka sendiri melakukannya, mereka tidak menyebutnya, sebaliknya mereka akan menuduh kaum lain yang melakukan perkara yang sama, rasis. Jika itu rasis, maka semuanya rasis.

Saya menghujahkan bahawa perasaan perkauman adalah lumrah alam. Ia juga tidak salah selagi digunakan untuk mempertahankan hak kaum mereka sendiri dan tidak digunakan untuk menindas kaum lain atau merampas hak mereka.

Di Malaysia, hak setiap kaum telah dipersetujui dan dinyatakan dalam Perlembagaan. Maka setiap kaum yang mempertahankan hak mereka yang dinyatakan dalam Perlembagaan bukanlah rasis. Yang rasis adalah kaum yang melanggar apa yang ditetapkan oleh Perlembagaan dan mahukan hak kaum lain yang dijamin oleh Perlembagaan sebagai hak mereka. Itu perlu difahami.

Kita telah melihat, penubuhan Bersatu dan Amanah telah memecahkan orang Melayu/Islam di Semenanjung Malaysia kepada lima buah parti. Kita telah melihat bagaimana ia merugikan orang Melayu, terutama sekali di bawah pemerintahan PH. Maka, dengan kembalinya TS Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu kepada UMNO diikuti dengan pembubaran Bersatu, kita dapat mengurangkan bilangan parti Melayu/Islam dan perpecahan orang Melayu/Islam.

Dalam tahun 2014, apabila saya mencadangkan kerjasama antara UMNO dan Pas untuk mengelakkan tumbangnya kerajaan BN di peringkat Persekutuan, seorang bekas Menteri Kanan BN (orang UMNO) berkata bahawa ia adalah terlalu idealistik. Selepas PRU14 beliau meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu dan masih berada dalam Bersatu sekarang.

Yang pentingnya, apa yang dikatakannya sebagai terlalu idealistik itu telah berlaku, malah lebih daripada apa yang saya cadangkan. Kali ini ia lebih mudah kerana, tidak seperti Pas yang boleh berdiri di atas kaki sendiri, Bersatu tidak. Maka, inilah jalan yang terbaik bagi Bersatu, UMNO, perpaduan Melayu/Islam dan negara. Ia juga adalah jalan yang terbaik bagi pemimpin-pemimpin yang terlibat.

**Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara

One thought on “Jalan terbaik untuk politik Melayu

  • July 12, 2020 at 14:07
    Permalink

    Cadangan Nazri dan penerangan lanjut oleh Tun Hamid patut diberi pertimbangan serious oleh UMNO. Dalam isu ini PAS rasanya tidak akan membantah kerana memang sifat dan fitrah parti Islam ini tidak berebut kedudukan asalkan Islam tidak diketepikan. Ahli2 Umno dan majoriti kaum Melayu sudah sangat selesa berada dalam kerajaan yang dipimpin oleh TS Mahyuddin; begitu juga dengan sebilangan besar rakyat bukan-Melayu yang totok DAP. Perangai lama yang buruk memikirkan jawatan di kalangan pemimpin2 Umno sepatutnya sudah kurang setelah melihat dan mengalami peristiwa hitam PUM14 dulu. Janganlah suka menjadi Pak Kaduk kali kedua, kelak akan disumpah oleh kaum Melayu selamanya. Bersatu tidak patut cuba mendabik dada dan sedar kedudukan dan realiti parti dan organisasinya. Kembali ke Umno adalah satu2nya pilihan yang ada dan ia tidak menjadi janggal kerena hampir semua ahli adalah bekas Umno. Pemimpin2 Bersatu yang menikmati kedudukan sebagai menteri dan Timbalan Menteri tidak boleh berpaut ke jawatan tersebut bila kembali ke UMNO, dan perlu menerima apa2 percaturan yang ditetapkan oleh pemimpin tertinggi UMNO/BN. Cadangan mengekalkan Mahyuddin sebagai PM selama satu penggal sangat sesuai, manakala Timbalan PM mestilah dari kalangan Umno, terutama DS Muhamad Hasan yang boleh diterima ramai. DS Najib dan Presiden UMNO dan Presiden PAS boleh dilantik sebagai Penasihat Kerajaan.

    Reply

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!