Tekanan usul undi tidak percaya

Share

AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mahu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibahaskan di Dewan Rakyat.

Menerusi sepucuk surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 25 September lalu, Tengku Razaleigh mendakwa Muhyiddin telah menolak usul yang sama untuk dibahaskan sebanyak dua kali.

Sehubungan itu, beliau meminta usul tersebut dikemukakan kepada Dewan Rakyat sebagai perkara penting yang memerlukan perhatian segera.

Jelasnya, ia perlu dibuat agar kerajaan pimpinan Muhyiddin dapat mengesahkan kewajarannya di Dewan Rakyat.

Berikut adalah kandungan teks surat yang dikemukakan Tengku Razaleigh kepada Azhar Azizan:

Dengan hormatnya saya merujuk kepada Usul Tidak Percaya yang telah dikemukakan ke Dewan yang mulia ini.

Pencadang usul ini mendakwa bahawa YAB Perdana Menteri sebanyak dua kali enggan membenarkan usul ini dibahaskan dengan cara menyenarai di penghujung Senarai Perbahasan. Dengan itu perbahasan terhadap usul tersebut terhalang di samping pengundian terhadapnya tidak dapat dilaksanakan oleh Dewan Rakyat.

Usul Tidak Percaya ini adalah amat penting atas beberapa sebab keperlembagaan, termasuklah kesahihan kerajaan sekarang ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri. Sekiranya usul tersebut disokong oleh sebahagian besar (majoriti) ahli-ahli Dewan Rakyat, akibat keperlembagaan yang menyusulnya haruslah dipersembahkan ke pengetahuan DYMM Yang di-Pertuan Agong.

Saya berpendapat bahawa usul tersebut seharusnya dikemukakan kepada Dewan Rakyat sebagai perkara penting yang memerlukan perhatian segera agar kerajaan kepimpinan Perdana Menteri kini dapat mengesahkan kewajarannya di Dewan Rakyat. Saya membuat cadangan ini berpandukan Perkara 62, Perlembagaan Persekutuan. Izinkan saya memetiknya.

“Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang Persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri.”

Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan memerlukan Perdana Menteri mendapat kepercayaan Dewan Rakyat sebagai prasyarat bagi beliau menuntut secara sahih akan jawatan Perdana Menteri. Tanpa kepercayaan oleh Dewan Rakyat, Perdana Menteri tidak berhak menuntut kesahihan terhadap jawatannya; dan pengelakan terhadap hakikat ini merupakan niat buruk dan penipuan terhadap Perlembagaan. Maka itu, pelaksanaan urusan kerajaan hendaklah berpandukan prasyarat bahawa Perdana Menteri disokong dengan kepercayaan oleh Dewan Rakyat.

Dari segi keperlembagaan, tiada peruntukan dalam Tatacara Tetap (Standing Orders) yang boleh menghalang usul ini daripada dibentang di Dewan yang mulia ini sebagai satu keutamaan mendesak. Dengan hormatnya, saya mohon jaminan agar Usul Tidak Percaya ini akan dibentangkan di Dewan Rakyat sebagai satu keutamaan pada persidangan akan datang ini.

Saya mengutus surat ini bersesuaian dengan sumpah keperlembagaan yang telah saya lafazkan sebagai ahli Dewan Rakyat yang mengkehendaki saya berpegang teguh kepada Perlembagaan dan ‘melaksanakan tugas saya dengan penuh kesetiaan’ di samping ‘memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan itu’.

Untuk makluman, Perdana Menteri telah menawarkan jawatan Penasihat Petronas kepada saya, yang pernah ditawarkan kepada bekas Perdana Menteri, tetapi saya menolak tawaran tersebut. Saya menolaknya kerana prihatin terhadap Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan berkaitan ‘hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen’ sekiranya ‘dia memegang sesuatu jawatan berpendapatan’. Bahagian kecil ini bertujuan mencegah ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada menyokong ataupun mengundi demi menyokong kerajaan bagi maksud ‘penyogokan politik’.

Penyogokan politik menyebabkan demokrasi keperlembagaan kita menghadapi cabaran serius. Saya bimbang dan khuatir sama ada demokrasi berperlembagaan kita mengalami penyogokan politik ini dengan cara tersembunyi. Sesungguhnya demokrasi berperlembagaan kita musnah dari dalam oleh ‘musuh dalam selimut’.

Penyogokan politik ini amat susah dikesan dan tidak dapat ditakrifkan secara habis-habisan. Maka itu amatlah penting pemahaman terhadap penyogokan politik ini diteraskan kepada pemahaman bahawa tujuan keperlembagaan menganggap pemegang ‘jawatan berpendapatan’ sebagai pembatalan keahlian adalah untuk mempertahankan dan mendokong Perlembagaan serta integriti Dewan Rakyat.

Saya menyatakan isu kepercayaan keperlembagaan dan penyogokan politik secara bertulis kerana saya risau sama ada sumpah jawatan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat itu tidak dipeduli. Sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk terikat oleh sumpah jawatan dan berkewajipan mendokong Perlembagaan kita.

Saya berharap mendapat jawapan memuaskan dalam masa tujuh hari kerana saya bercadang membuat pengumuman awam demi kepentingan mendokong Perlembagaan serta mempertahankan keluhurannya sejajar dengan sumpah jawatan saya.

Di samping itu, saya akan meneliti sama ada keengganan Datuk untuk memberi keutamaan kepada perkara ini merupakan kecuaian terhadap Perkara 43 dan Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan. Saya memberi penekanan kepada ‘Perlembagaan Persekutuan’ kerana negara tercinta ini dibina berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

Jawapan Yang Dipertua Dewan Rakyat terhadap surat Tengku Razaleigh – SH

SAYA merujuk kepada surat Yang Berhormat Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah bertarikh 25 September 2020 kepada saya dan surat jawapan daripada saya bertarikh 29 September 2020 kepada YBM Tengku Razaleigh.

Saya difahamkan bahawa surat-surat tersebut telah diedarkan oleh pejabat YBM Tengku Razaleigh dan telah menjadi pengetahuan umum.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBM Tengku Razaleigh kerana telah memberi peluang kepada saya untuk memberi penerangan mengenai kedudukan usul undi tidak percaya yang YBM fikirkan dihalang daripada dibahaskan dengan cara penyenaraiannya di penghujung senarai perbahasan.

Saya telah menjawab kemusykilan YBM Tengku Razaleigh secara bertulis sepertimana dalam surat saya yang tersebut di atas. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YBM Tengku Razaleigh di atas kesudian YBM memberi peluang kepada saya untuk menerangkan kedudukan perkara tersebut secara lisan kepada beliau.

Perlu saya tegaskan bahawa kedudukan usul undi tidak percaya dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem yang kita amalkan. Malah, sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan kita di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang Menteri.

Adapun saya ingin tekankan bahawa apa-apa usul yang dibuat dan diberi pemberitahuannya kepada saya ataupun Setiausaha Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat akan saya kendalikan mengikut undang-undang sedia ada.

Terima kasih.

 

Zahid tidak tahu pertemuan Tengku Razaleigh dengan Agong

Leave a Reply