PKPB Lembah Klang cetus pembelian panik

Orang ramai membanjiri pasar raya dan kedai runcit sekitar Lembah Klang hari ini berikutan pengumuman perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang akan dilaksanakan pada Rabu.

Lelaki hanya dikenali sebagai Dave dari Bandar Kinrara 3 berkata, dia membeli makanan anjing di pasar raya berdekatan tempat tinggalnya kira-kira 5 petang apabila melihat ramai orang “membanjiri” dan meletak barangan ke dalam troli.

“Ini betul-betul huru-hara dan ia sebenarnya tidak perlu. Sebahagian pasangan menolak troli masing-masing,” katanya sambil menambah “ia bukan akhir zaman”.

Dave berkata, dia tidak faham mengapa orang ramai bertindak sedemikian kerana rakyat pernah melalui perintah kawalan pergerakan sebelum ini, di mana kedai masih dibuka untuk menjual barangan runcit dan keperluan lain.

“Paling teruk apabila mereka keluar bersama anak-anak atau ibu bapa yang uzur, ini sesuatu yang sepatutnya dielakkan. Saya tidak nampak rakyat memainkan peranan untuk mengurangkan jangkitan dengan bertindak seperti ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB akan berkuat kuasa 12.01 tengah malam 14 Oktober hingga 27 Oktober ini kerana peningkatan mendadak kes Covid-19 di Klang, Petaling, Gombak dan Hulu Langat.

Sementara itu, Cassandra B, seorang penganalisis perniagaan yang tinggal di Ara Damansara berkata, dia bergegas ke kedai runcit terdekat selepas mengetahui berita berkenaan melalui media sosial.

Wanita itu berkata, dia bimbang rak barangan akan kosong dengan cepat dan akan berlaku barisan panjang di pasar raya seperti dialami ketika perintah kawalan pergerakan pada Mac lalu.

“Ramai orang di pasar raya dan ada barang keperluan sudah dibeli mereka sebelum saya sampai,” katanya.

Katanya, dia tergesa-gesa mendapatkan bekalan hari ini kerana mahu mengelak daripada keluar rumah selepas ini.

Di Kajang, seorang pelanggan pasar raya dikenali sebagi Amirah berkata, dia sudah nampak barisan panjang di premis pertama dikunjunginya pada 6 petang.

Beliau terpaksa pergi ke 2 pasar raya untuk mendapatkan barang keperluan seperti telur, roti dan beras.

Bagaimanapun katanya, dia mendapati situasi pembelian panik kali ini kurang berbanding pelaksanaan PKP pada Mac lalu. FMT

Pakar: Berpusu tinggalkan Lembah Klang sukarkan pembendungan Covid-19

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker