Polemik hala tuju Malaysia Airlines
SEJAK beberapa tahun lalu, isu menutup atau menjual Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) menjadi antara perkara yang hangat diperkatakan.
Sehingga kini pun, cakap-cakap belakang mengenai perkara itu masih kedengaran susulan kerugian yang dihadapi syarikat penerbangan nasional itu.
Malaysia Airlines yang bergelut untuk menjana semula keuntungan sejak Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjadikannya syarikat persendirian pada tahun 2014 akan menyertai syarikat penerbangan global yang menerima bantuan atau talian hayat daripada pemegang saham masing-masing.
Meskipun pelbagai langkah atau penstrukturan dibuat bagi membantu syarikat penerbangan nasional itu, namun sehingga kini jalan penyelesaiannya tetap kabur.
Perkara tersebut dapat dilihat dengan pelantikan pengerusi yang silih berganti untuk menerajui syarikat penerbangan itu.
Kebimbangan kembali memuncak selepas dunia kini diancam pandemik koronavirus (Covid-19) dan sesiapa pun tidak mampu menjangka bilakah wabak tersebut akan berakhir.
Sektor penerbangan antara yang paling terkesan susulan pandemik tersebut, lebih-lebih lagi apabila kerajaan mengumumkan pintu sempadan antarabangsa kekal ditutup buat masa ini.
Kesan Covid-19 : 13,000 kakitangan Malaysia Airlines ditawar cuti tanpa gaji
Kesan daripada pandemik itu juga, Malaysia Airlines membatalkan penerbangan, menangguhkan perbelanjaan tidak kritikal dan mengurangkan kos sejak bermulanya krisis.
Keadaan itu pastinya mengundang kebimbangan kepada kakitangan syarikat penerbangan tersebut mengenai nasib masa depan mereka.
Sebelum ini, penstrukturan Malaysia Airlines menyaksikan perubahan termasuk ramai pekerja diberhentikan, pengurangan gaji dan diberi cuti tanpa gaji.
Pada Jumaat lalu, Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan pelaksanaan penstrukturan dan penyusunan semula operasi dalam tempoh beberapa bulan akan datang dengan mengkaji Rancangan Perniagaan Jangka Panjang (LTPB).
Langkah tersebut dilaporkan akan dilaksanakan bagi memastikan kesesuaian dan kelangsungan kumpulan yang terkesan oleh penularan pandemik Covid-19.
Keputusan
Susulan penstrukturan itu, antara perkara yang akan dipertimbangkan seperti melaksanakan pemotongan gaji untuk seluruh pasukan pengurusan dan juruterbang termasuk memperkenalkan cuti tanpa gaji, menangguhkan pembayaran, rundingan semula kontrak dan lain-lain dalam usaha mengekalkan kelangsungan serta melindungi sebanyak pekerjaan yang mungkin.
Kini, harapan seluruh kakitangan syarikat itu pastinya terletak sepenuhnya kepada bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang baru dilantik sebagai pengerusi berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Susulan pengumuman itu, pihak Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) tampil menyatakan ketidakpuasan hati mereka dan menyifatkan keputusan syarikat penerbangan nasional tersebut sebagai tidak tepat pada waktunya.
Presidennya, Ismail Nasaruddin berkata, rata-rata pekerja bakal berdepan krisis kewangan dengan berakhirnya moratorium pada akhir bulan lalu.
Menurutnya, penstrukturan yang bakal dibuat itu dibimbangi akan membuatkan lebih ramai pekerja akan menerima kesan yang lebih buruk.
Ismail berkata, kerajaan juga diminta memberi perhatian terhadap langkah yang ingin dilaksanakan itu bagi memastikan kebajikan semua pihak terjaga.
“Kerajaan harus beri perhatian terhadap isu ini terutama sekali MAS di bawah Khazanah dan Khazanah di bawah kerajaan,” katanya.
Kebimbangan yang disuarakan Nufam juga bukan baharu kerana setiap kali penstrukturan dibuat pastinya akan membabitkan kakitangan yang terjejas.
Meskipun tidak dapat dinafikan industri penerbangan khususnya di Malaysia berdepan saat kritikal, namun kebajikan anak-anak kapalnya khasnya perlu diberi pertimbangan sewajarnya.
Justeru, kini ramai yang menanti ke manakah hala tuju Malaysia Airlines. Ramai pastinya tidak mahu melihat syarikat itu yang merupakan salah satu daripada lapan syarikat penerbangan lain di seluruh dunia yang mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Skytrax terus malap.
Secara asasnya, perkhidmatan Malaysia Airlines diakui berada pada tahap terbaik dan sering mendapat pujian, namun kita harus realistik bahawa hanya dengan keuntungan dan kewangan yang stabil mampu menjadikan sesebuah syarikat itu kekal stabil.
Kepada rakyat Malaysia, marilah kita terus menyokong syarikat penerbangan nasional itu agar jenama kebanggaan negara ini kekal terbang di ruang udara seluruh dunia.
* Nurul Huda Husain
You must be logged in to post a comment.