Kesan Covid-19 : 13,000 kakitangan Malaysia Airlines ditawar cuti tanpa gaji

Share

Malaysia Airlines Berhad meminta 13,000 kakitangannya mengambil cuti tidak bergaji susulan penularan wabak koronavirus yang telah menjejaskan operasi syarikat penerbangan itu.

Syarikat itu telah membuat tawaran itu kepada semua kakitangannya untuk mengambil tiga bulan cuti tanpa gaji atau lima hari cuti tidak bergaji setiap bulan, sekurang-kurangnya selama tiga bulan mulai April ini, menurut laporan theedgemarkets.com.

Pada hari Isnin lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Kapten Izham Ismail mengumumkan pemotongan gaji 10% dan elaun bagi pengurusan kanannya sebagai sebahagian daripada langkah untuk mengurangkan kos operasi.

“Kesan (Covid-19) kepada pasaran sangat besar, orang ramai sudah tidak lagi melancong, operasi perniagaan tidak lagi beroperasi seperti dahulu dan landskap penerbangan telah berubah dengan ketara. MAG tidak terlepas daripada semua ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu disiarkan menerusi video kepada pekerja syarikat penerbangan tersebut.

Pada suku pertama tahun ini sahaja, Malaysia Airlines telah mengurangkan 7.1% kapasiti penerbangan dan menggantung lebih daripada 1,600 penerbangan.

Malaysia Airlines juga telah mengurangkan laluan ke China sebanyak 53% dan ke Korea Selatan dan Jepun sebanyak 23%.

“Pada kadar dan momentum krisis ini, lebih banyak penerbangan akan dibatalkan kerana terdapat kurang permintaan di pasaran,” kata Izham.

Syarikat penerbangan antarabangsa utama yang lain seperti Singapore Airlines, Cathay Pacific, British Airways, Lufthansa, Emirates, Virgin Atlantic dan EasyJet juga menawarkan cuti tanpa gaji kakitangan. – MalaysiaGazette

Leave a Reply