Pemimpin UMNO yang menyokong Anwar wajar dipecat

Share


“Mengikut kenyataan DS Ismail Sabri yang dibuat di Sabah, MT dan ahli-ahli Parlimen UMNO telah membuat keputusan:

1. Jika hendak menyokong sesuatu gabungan, ia mestilah dibuat secara en bloc, bukan secara individu;
2. Sesiapa yang memberi sokongan secara individu akan dipecat dari parti;
3. Sokongan tidak akan diberi jika dalam gabungan itu ada DS Anwar atau DAP.

Saya percaya apa yang dikatakan oleh DS Ismail itu.

Adalah jelas, jika kumpulan 19 itu terlibat, mereka telah melanggar keputusan-keputusan itu. MT patut keluarkan surat tunjuk sebab kepada mereka. Jika mereka tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan, mereka patut dipecat. UMNO perlu membersihkan diri daripada ahli-ahli, walau Presiden dan bekas Presiden, yang tidak setia kepada parti.”

KOMPLOT SEPTEMBER 2020: APA KESANNYA?

Entah mengapa, apabila saya terbaca dakwaan DS Anwar Ibrahim bahawa beliau telah mendapat majoriti bilangan ahli Parlimen yang menyokongnya untuk menubuhkan kerajaan baru dan menunggu untuk menghadap DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di masa terdekat, saya tidak fikir peralihan kuasa akan berlaku.

Jika dakwaannya benar pun, saya harap, malah percaya, YDPA akan membubarkan Parlimen dan PRU15 akan diadakan.

Apabila terbaca pula berita YDPA masuk IJN dan tidak akan menerima sesiapa menghadap, saya fikir tentu akan ada ahli-ahli Parlimen, terutama sekali yang dikatakan daripada UMNO itu, yang akan undur balik.

Ini kerana pada masa ini UMNO nampak semakin kuat. Gandingannya dengan PAS, jika berterusan, disokong oleh tsunami patah balik orang Melayu, akan membolehkan UMNO dan PAS menambah bilangan ahli-ahli Parlimennya. Oleh itu, mengapa mereka hendak meninggalkan PN pada masa ini?

Hanya tunggu mengadap, senarai MP yang menyokong Anwar kini di pihak Istana

Sebaliknya, mungkin ahli-ahli Parlimen itu disogok, dijanjikan jawatan Menteri dan lain-lain, atau mereka merasakan kerajaan PN tidak selamat kerana mampunyai majoriti yang sangat nipis dan boleh tumbang bila-bila masa dan menamatkan tempoh mereka menjadi ahli Parlimen. Dengan menyokong kerajaan baru, mereka mengharapkan kerajaan baru itu akan lebih kuat dan kekal hingga ke akhir penggal yang bererti mereka dapat menjadi ahli Parlimen sekurang-kurangnya selama dua tahun lagi.

Kemudian keluar pula kenyataan DS Zahid Hamidi, selaku Presiden UMNO. Beliau mengatakan ramai ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyokong DS Anwar, beliau menghormati tindakan mereka dan beliau tidak boleh menghalang mereka.

Membaca kenyataan itu, saya terus terfikir bahawa DS Zahid terlibat dalam komplot itu. Mengapa beliau begitu rela dengan apa yang berlaku itu? Ingat semula kata-katanya apabila DS Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi. (Rujuk rencana saya bertajuk “Adakah UMNO keluar PN kerana marah Najib didapati bersalah?” (04.08.2020)). Kenyataan itu seolah-olah hendak demoralize ahli-ahli Parlimen UMNO lain supaya turut serta.

Kemudian keluar pula senarai 19 orang ahli Parlimen UMNO yang dikatakan menyokong DS Anwar. Kita boleh bahagikan mereka kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada DS Najib, DS Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah. Kumpulan kedua terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang pernah menjadi Menteri dan Menteri Besar.

Kumpulan ketiga adalah ahli-ahli Parlimen biasa.

Reaksi spontan saya adalah seperti tidak percaya bahawa mereka sanggup memecahbelahkan UMNO, meninggalkan PN, menyertai DS Anwar dan bekerjasama dengan DAP.

Mari kita lihat alasan-alasan yang mungkin menyebabkan mereka berbuat demikian. Bagi kumpulan pertama, mungkin mereka telah dijanji atau mengharapkan pertuduhan terhadap mereka akan ditarik balik. Jika itulah yang dipersetujui antara mereka dengan DS Anwar atau yang mereka harapkan, ia sangat-sangatlah mendukacitakan.

Ia menunjukkan bekas Presiden PKR yang juga bekas Timbalan Pedana Menteri dan bakal Perdana Menteri; bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri; Presiden UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri; bekas Menteri dan ahli-ahli Parlimen, masih tidak faham sempadan bidang kuasa Eksekutif dan kebebasan Peguam Negara.

Mereka seolah-olah berfikir kerajaan boleh mengarahkan Peguam Negara menarik balik pertuduhan atau semua Peguam Negara adalah seperti TS Tommy Thomas yang menarik balik pertuduhan terhadap Lim Guan Eng, Ahli Parlimen, Ahli DUN dan penyokong-penyokong PH.

DS Najib yang telah disabitkan dan dihukum pula mungkin mengharapkan DS Anwar akan memohon pengampunan bagi pihaknya seperti yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir mengenai DS Anwar apabila PH berkuasa. Saya telah menghujahkan bahawa ia adalah penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan dan Lembaga Pengampunan. (Lihat rencana-rencana saya bertajuk “Pengampunan Dato’ Seri Anwar atas dasar apa?” (12.05.2018); “Kuasa pengampunan”(03.05.2018); “Pengampunan Dato’ Seri Anwar dan Keadilan kepada Saiful”(14.05.2018); “Kuasa di atas keadilan” (31.08.2018); “Pengampunan dan pembatalan kehilangan kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen” (11.10.2018) dan “Peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan selepasnya” (09.01.2019)).

Mengenai kumpulan kedua, kemungkinan mengapa mereka menyokong penubuhan kerajaan baru itu ialah kerana mereka tidak mendapat jawatan dalam kerajaan TS Muhyiddin. Maka mungkin mereka mengharapkan sesuatu daripada kerajaan DS Anwar.

Mengenai kumpulan ketiga, mereka mungkin merasa lebih selamat mengikuti Presiden parti dan bekas Presiden parti dan mengharapkan kerajaan baru akan dapat bertahan hingga ke akhir penggal dan mereka juga akan dapat menjadi ahli Parlimen hingga ke akhir penggal.

Kita perhatikan, jika benar pun kumpulan 19 orang ini menarik balik sokongan mereka terhadap TS Muhyiddin dan menyokong DS Anwar sebagai Perdana Menteri, mereka tidak melompat parti.

Strategi kerjasama politik Umno di Sabah tidak menguntungkan – Tok Mat

Ertinya mereka tidak keluar dari UMNO. Akibatnya, dalam UMNO akan ada dua kumpulan, satu kumpulan dalam kerajaan dan satu kumpulan lagi sebagai pembangkang. Ini amat pelik dan saya tidak fikir ia pernah berlaku dalam dunia.

Mungkin DS Zahid dan DS Najib bercadang untuk menyingkirkan semua Ahli Parlimen UMNO yang tidak mengikut mereka. Adalah menghairankan bahawa mereka sanggup bekerjasama dengan DAP.

Kedudukan DS Anwar nampak lebih kuat apabila Lim Guan Eng menyatakan kesemua ahli Parlimen DAP menyokong DS Anwar.

Timbul soalan bagaimana DAP juga boleh bekerjasama dengan UMNO, terutama sekali dengan DS Najib dan DS Zahid. Atau, sanggupkah mereka melupakan permusuhan mereka? Amanah juga menyokong DS Anwar sepenuhnya.

Kali ini nampak seolah-olah Dato’ Seri Anwar, akhirnya, berjaya juga menjadi Perdana Menteri.

Selepas itu keluar pula senarai Jemaah Menteri kerajaan baru.

Seperti dijangka, selepas beberapa hari, seorang demi seorang menafikan penglibatannya. Lim Guan Eng mengeluarkan satu kenyataan lagi. Katanya, beliau berada di Sandakan apabila DS Anwar menelefonnya dan memberitahunya beliau (DS Anwar) telah mempunyai majoriti. Talian telefon tidak terang.

Beliau sangkakan ahli-ahli Parlimen yang menyokong DS Anwar itu adalah daripada GPS di Sarawak bukan daripada parti-parti lain (maksudnya UMNO). Sebab itulah beliau mengatakan DAP menyokongnya. Keadaan berubah apabila mereka mengetahui UMNO juga bersama, kerana DAP tidak boleh bekerjasama dengan UMNO.

Anehnya, ahli-ahli Parlimen UMNO yang dikatakan terlibat dan menafikan penglibatan mereka juga memberi alasan yang sama: mereka tidak dapat bekerjasama dengan DAP.
Tibalah malam penentuan PRN Sabah. Di luar jangkaan, GRS menang walaupun dengan hanya majoriti tiga kerusi.

Sampai hari Isnin 28.09.2020. Keluarlah berita TYT Sabah bersetuju melantik DSP Hajiji sebagai Ketua Menteri. Tidak kiralah DS Bung Moktar atau DSP Hajiji, kesannya kerajaan GRS tertubuh.

Tidak dapat dinafikan keputusan itu adalah satu tamparan kepada PH. DS Anwar dan PKR yang hanya menang dua kerusi juga merasakan kesannya. Cubaan DS Anwar menumbangkan kerajaan PN nampak akan gagal seperti perisytiharannya dalam bulan September 2008. Ertinya, keinginannya menjadi Perdana Menteri gagal lagi.

Ada tiga kemungkinan yang menyebabkan terbitnya cerita itu: Pertama, DS Anwar sengaja membuat cerita untuk membantu sekutunya dalam PRN Sabah.
Kedua, ahli-ahli Parlimen UMNO itu hendak memerangkap DS Anwar kerana mereka menghendaki PRU15 diadakan segera.

Ketiga, memang betul pada mulanya ada komplot begitu tetapi, setelah beberapa hari, seorang demi seorang ahli-ahli Parlimen UMNO yang terlibat itu menafikannya kerana reaksi ahli-ahli UMNO dan orang Melayu yang tidak menyetujuinya.

Saya tidak fikir DS Anwar sengaja membuat cerita untuk membantu sekutunya dalam PRN Sabah. Ini kerana keputusan PRN itu tidak akan menambah atau mengurangkan bilangan ahli-ahli Parlimen yang, kita percaya, akan menyokongnya. Setelah malu (kita menganggap beliau masih tahu malu) kerana kegagalan komplot September 2008, beliau tentu tidak akan mengulanginya, melainkan dalam komplot 2008 itu juga pada mulanya beliau dijanjikan sokongan tetapi ahli-ahli Parlimen yang dikatakan akan menyokongnya itu menarik balik sokongan mereka.

Sabah : GRS ibarat bom jangka

Jika demikian, ertinya beliau tidak belajar daripada pengalaman itu.

Mengenai kemungkinan kedua, pada 24 09 2020, Isham Jalil, Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor (mengikut sebuah rencana dalam Suara Merdeka, Setiausaha Agung Barisan Nasional Selangor) menulis:

“Pada saya, keputusan Presiden UMNO semalam untuk tidak menghalang mana-mana Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong sesiapa (i.e. sama ada menyokong Anwar atau menarik balik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional) bukan bermakna beliau (Zahid) atau UMNO menyokong pembentukan kerajaan yang baru dengan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Sebab jika Ahli-ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan daripada kerajaan atau menjadi berkecuali, maka Anwar masih tidak boleh jadi Perdana Menteri secara automatik.
Ini kerana besar kemungkinan Parlimen akan dibubar untuk pilihanraya yang baru.

Oleh itu keputusan Presiden UMNO semalam adalah suatu langkah yang bijak dan betul ke arah pembubaran Parlimen dan pilihanraya yang baru secepat mungkin untuk mengakhiri impasse dan ketidakstabilan politik dan ekonomi yang kita hadapi sekarang demi kepentingan rakyat dan negara.”

Pada malam terakhir berkempen PRN Sabah, DS Zahid menerbitkan rakaman video menyeru pengundi mengundi BN. Tetapi wajahnya kelihatan tidak ceria. Kata-katanya seolah-olah terbit dari mulut, bukan dari hati.

Pada 26 September 2020, hari mengundi di Sabah, terbit pula berita:
“Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mendedahkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah ‘masuk perangkap selepas termakan umpan’ dipasang oleh pihak-pihak tertentu.”

Menteri Wilayah Persekutuan itu amat pasti bahawa rancangan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lebih awal memang sudah lama ada dalam pemikiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin; Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, lagi cepat PRU-15 diadakan maka semakin cepat Ketua Pembangkang berkenaan menjadi tidak relevan dalam dunia politik Malaysia.”

Bagi saya, teori itu adalah usaha untuk memberi jalan keluar kepada DS Zahid apabila komplot itu nampak akan gagal untuk menyelamatkan Presiden UMNO itu daripada kemarahan ahli-ahli UMNO dan orang Melayu yang mungkin mengorbankan jawatan Presidennya.

Saya tidak percayakan teori itu kerana, pertama, bilakah DS Zahid pernah berkata beliau mahukan PRU15 diadakan segera? Kedua, jika DS Zahid, DS Najib dan kumpulan 19 itu mahukan PRU15 diadakan segera, mereka sepatutnya berhadapan dengan TS Muhyiddin, beritahunya mereka menarik balik sokongan mereka terhadapnya dan minta beliau menghadap YDPA untuk menasihatkan Baginda membubarkan Parlimen.

UMNO vs PPBM, Dari sisi pandang..

Itu lebih direct. Ketiga, jika YDPA tidak membubarkan Parlimen tetapi melantik DS Anwar menjadi Perdana Menteri, siapa yang terjerat?

Kita sampai kepada kemungkinan ketiga iaitu pada mulanya memang ada komplot begitu yang bererti DS Najib, DS Zahid dan kumpulan 19 itu terlibat.

Perhatikan, hingga ke akhirnya, DS Najib, DS Zahid, DS Abdul Azeez Abdul Rahim, DS Mohamed Nazri Aziz dan Datuk Mohamad Alamin tidak menafikan penglibatan mereka. Untuk memberi jalan keluar kepada mereka, maka dikeluarkanlah teori mereka memasang jerat kepada DS Anwar itu.

Apakah kesan kegagalan komplot September 2020 itu?

Setelah dua kali komplot bulan September DS Anwar berakhir dengan kegagalan, saya fikir kredibiliti DS Anwar sudah habis. Beliau telah menjadi budak yang memekik “serigala”.

Mengikut kenyataan DS Ismail Sabri yang dibuat di Sabah, MT dan ahli-ahli Parlimen UMNO telah membuat keputusan:

1. Jika hendak menyokong sesuatu gabungan, ia mestilah dibuat secara en bloc, bukan secara individu;
2. Sesiapa yang memberi sokongan secara individu akan dipecat dari parti;
3. Sokongan tidak akan diberi jika dalam gabungan itu ada DS Anwar atau DAP.

Saya percaya apa yang dikatakan oleh DS Ismail itu.

Adalah jelas, jika kumpulan 19 itu terlibat, mereka telah melanggar keputusan-keputusan itu. MT patut keluarkan surat tunjuk sebab kepada mereka. Jika mereka tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan, mereka patut dipecat. UMNO perlu membersihkan diri daripada ahli-ahli, walau Presiden dan bekas Presiden, yang tidak setia kepada parti.

[email protected]

One thought on “Pemimpin UMNO yang menyokong Anwar wajar dipecat

  • October 2, 2020 at 09:37
    Permalink

    Begitu lah jugak senario ‘bermaruah’ yg perlu sgt di renung , difikir dn dikaji semula sepanjang kelangsungan dalam PN…UMN perlu mbuat ‘pengasingan’ pd kepentingan individu ,, parti,,, dan negara….. Rakyat kini mlihat dgn sgt jelas akan kapital yg tersedia ada pd BERSATU atas liabiliti dalam UMNO…(PENDAKWAAN MAHKAMAH TERHADAP PEMIMPIN YG MASIH LAGI DLM UMNO) …
    Rata2 rakyat dn bangsa melayu bercerita saban hari ttg ‘kerbau dicucuk hidung’ perumpamaannya…..faham2 sendirilah.
    Lepaskn dulu semua jawatan dlm parti dan biarkn pemimpin yg belum lg dibuat ‘pendakwaan’ menggerak dn menerajui UMNO tanpa ada sebarang gentar dr sebarang ugutan…

    Reply

Leave a Reply