Minyak pelincir, luar original dalam tiruan

Hasilkan sendiri formula ‘cincai’ bagi mengeluarkan minyak pelincir jenama tiruan untuk kenderaan berat tanpa mengikut piawaian dan kualiti ditetapkan.

Minyak pelincir untuk kegunaan kenderaan berat terutama lori dan treler itu kemudian dipasarkan sindiket di sekitar Lembah Klang pada harga antara RM185 dan RM240.

Bagi mengelirukan pengguna, sindiket turut menampal logo dan pelekat palsu menyerupai syarikat pengeluar minyak terkemuka.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, kegiatan itu dibongkar hasil serbuan sepasukan anggota KPDNHEP di sebuah gudang di Taman Industri Subang, Subang Jaya, kelmarin.



Menurutnya, pihak KPDNHEP merampas lebih 10,000 liter minyak pelincir jenama tiruan bernilai kira-kira RM111,300.

“Pasukan serbuan turut menahan dua lelaki tempatan berumur 34 dan 53 tahun yang berada di lokasi kejadian ketika serbuan.

“Hasil siasatan awal mendapati gudang itu dijadikan tempat membuat minyak pelincir bagi kenderaan berat menggunakan jenama syarikat pengeluar minyak terkemuka.



“Terdapat pelbagai jenis minyak pelincir seperti Transformer Oil, Compressor Oil, Truck & Heavy Duty Engine Oil, Greese, dan Slideways Oils untuk kegunaan kenderaan berat.

“Pemilik premis disyaki membuat atau memiliki suatu artikel salinan cap dagangan berdaftar atau tanda yang mungkin menyebabkan kesilapan bagi cap dagangan berdaftar untuk mengaburi operasi,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan turut menemui label dan penutup tong dengan label cap dagang yang dipercayai dibuat sindiket.

“Siasatan awal mendapati minyak pelincir itu dipasarkan di sekitar Lembah Klang pada harga antara RM185 dan RM240,” katanya.



Menurutnya, semua barangan itu berserta dokumen berkaitan disita untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 101(b) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan ini disarankan supaya melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri di pejabat KPDNHEP berhampiran,” katanya. HM



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker