ADUN Johor dinasihatkan ketepi kepentingan politik

JOHOR BAHRU – Seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan bersidang esok dan Ahad ini perlu mengetepikan kepentingan politik masing-masing sebaliknya mengutamakan permasalahan rakyat.

ADUN Bukit Permai, Tosrin Jarvantri menasihatkan agar ADUN kerajaan atau pembangkang menumpukan soal Bangsa Johor, penyatuan rakyat dan kemajuan negeri ini.

“Selaku ADUN yang sudah lama, kita perlu tinggalkan dahulu pergeseran politik di belakang dan menghadapi masa depan Johor yang lebih gemilang untuk rakyat di negeri ini.

“Harap tidak ada perkara-perkara kepentingan politik kepartian dibawa yang boleh mencemarkan institusi DUN itu sendiri,” katanya.



Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Md Rofiki A Shamsudin.

Pada persidangan DUN sebelum ini, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, PH menangguhkan dahulu usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor kerana masanya tidak sesuai memandangkan sedang berdepan koronavirus (Covid-19).



Menurut Aminolhuda, usul tersebut akan dibentangkan semasa persidangan DUN akan datang dan mendakwa mempunyai jumlah ADUN yang cukup untuk menyokongnya dan tindakan itu dibuat berdasarkan peruntukan yang ada.

Sementara itu, beliau berkata, mata pelajaran Kesultanan Islam Johor akan dilancarkan pada Hari Terbuka Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor di Bandar Putra, Kulai, Sabtu ini yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Katanya, mata pelajaran tersebut akan melibatkan 185,000 pelajar sekolah agama di seluruh Johor yang akan melibatkan beberapa fasa.

“Mata pelajaran berkenaan Kesultanan Islam Johor akan dimulakan dengan murid Tahun Satu, Dua dan Tiga pada tahun ini sebelum Tahun Empat, Lima dan Enam pada tahun depan manakala Darjah Khas pula pada tahun 2022,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker