‘Tun M arah saya kurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP’

SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa dia diarahkan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP.

Menurutnya, arahan itu dibuat ketika Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, beliau akur dengan arahan diberikan Mahathir itu.

Hamzah berkata, beliau mengakui sentiasa setia dan melakukan semua perkara atas arahan bekas Perdana Menteri itu yang ketika itu masih lagi sebagai Pengerusi Bersatu.



“Antara arahan lain oleh Dr Mahathir termasuklah menganjurkan Kongres Maruah Melayu pada Oktober tahun lalu dan berbincang mengenai cara Bersatu keluar daripada PH.

“Selepas menyertai Bersatu, perbincangan berlaku dari semasa ke semasa dan Dr Mahathir minta saya bukan hanya perkukuhkan parti, tapi juga mengurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP.

“Ketika itu, saya buat kerja atas arahan Perdana Menteri ketika itu, dan apa yang saya lakukan, contohnya Kongres Maruah Melayu dilakukan secara besar-besaran dan mungkin tidak dapat saya lakukan jika tiada arahan Perdana Menteri (ketika itu),” katanya.

Menurutnya, berlaku perbincangan untuk membawa Bersatu keluar daripada PH.



“Dalam beberapa perbincangan, termasuk antara saya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad bersama Dr Mahathir di rumahnya, mencari jalan macam mana Bersatu keluar daripada PH.

“Ini permintaan (Dr Mahathir). Kita kata, buat bersama-sama dan yang lainnya sudah menjadi sejarah apabila Dr Mahathir sendiri letak jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu, di Petaling Jaya, hari ini.

Katanya, semua pihak termasuk Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu terkejut dengan peletakan jawatan Dr Mahathir kerana ia dilakukan tanpa sebarang perbincangan.

Malah, ketika Yang di-Pertuan Agong perlu memilih Perdana Menteri baharu Februari lalu, Hamzah mendakwa beliau dan pimpinan Bersatu lain bekerja keras memastikan Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri apabila namanya antara yang dicalonkan kepada Istana Negara.



“Namun, sejarah membuktikan Dr Mahathir tidak mendapat sokongan. Bukan saya yang memecahbelahkan parti, tapi beliau yang letak jawatan dan tak dapat sokongan.

“Sedangkan asalnya daripada 12 Ahli Parlimen Bersatu menjadi 37 orang yang menyokong Dr Mahathir untuk terus memimpin negara.

“Begitu juga dengan tohmahan kononnya ini komplot oleh Muhyiddin, kasihan dengan beliau. Allah pilih seorang Perdana Menteri yang mampu pimpin negara menggantikan Dr Mahathir,” katanya yang meminta semua pihak memberi sokongan kepada Muhyiddin.

HM



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker