PH jatuh sebab barah penyakit hipokrit kronik!
SELEPAS mendengar rakaman mesyuarat mereka yang tular kini, komen saya begini:
1) Rakaman ini didedahkan kepada umum berpunca daripada usaha untuk memburukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dedah dibalas dedah. Akhirnya senario sama berlaku; langkah PH cuba menjatuhkan orang lain sebenarnya mendedahkan kelemahan sendiri.
Rakyat Malaysia selama ini mendengar daripada kenyataan beberapa pemimpin, pembangkang mahupun kerajaan, bahawa kerjasama PH tidak stabil, kini rakyat mendengar sendiri kerapuhan itu secara langsung dari mulut kepimpinan tertinggi PH dalam mesyuarat sesama mereka tanpa ada unsur berlakon di depan wartawan media.
Taktik dedah mendedahkan sesuatu yang bersifat amanah majlis sebenarnya termasuk dalam kategori إذا خاصم فجر , yang bermaksud “Apabila dia berbalah, dia khianat”, yang merupakan sifat munafik seperti yang disebut oleh Rasulullah. Hadis ini tidak membenarkan kita untuk menuduh mereka munafik, dalam erti kata berpura-pura beriman luaran tetapi dalamannya kufur. Tidak. Hadis ini mengandungi arahan agar kita menjauhi tingkah laku yang menggambarkan kemunafikan dan mereka yang bertingkah laku seperti itu.
Semoga kita terselamat daripada perangai keji ini.
2) Mereka bermesyuarat untuk membincangkan mengenai penggantian posisi PM, daripada Mahathir kepada Anwar, sama ada perlu bertarikh atau terpulang kepada Mahathir. Tetapi masalah mereka sebenarnya bukan itu. Dua jam lebih mereka berbincang sebenarnya disebabkan masalah sikap hipokrit yang terlalu tebal dan mendarah daging. Masalah mereka hanyalah Mahathir dan mereka yang bersetuju dengannya tak mahu Anwar, manakala puak pro-Anwar pula mahu mematikan kelicikan Mahathir untuk menafikan peluang Anwar jadi PM.
Tapi selama dua jam itu, semua orang hipokrit, sampai tahap membahayakan masa depan PH. Maksudnya, disebabkan ketebalan sikap hipokrit mereka, tak ada siapa pun yang mampu jujur dengan mengemukakan hujah untuk menyelamatkan PH. Tak mampu jujur, walaupun ada yang cakap ‘let us be honest’. Mereka tak mampu untuk jujur, walaupun untuk kepentingan PH, sebagai satu ‘coalition’. Gelap dan hitam sungguh dunia hipokrit mereka.
Semoga kita terselamat daripada gejala hipokrit pekat begitu.
3) Puak pro-Anwar lebih matang dalam berhujah dan mempunyai ‘point’ yang kuat untuk menekan puak Mahathir, malah Mahathir sendiri. Puak Mahathir emosional, tidak ada ‘point’ pun. ‘Point’ kestabilan yang puak Anwar bagi cukup mantap apabila mencadangkan Anwar masuk Kabinet dan ada tarikh serah kuasa. Syed Saddiq terserlah budak mentah dalam berhujah, ‘he is nobody’, walaupun juara debat. Gobind ‘cool’ saja mendiamkan budak mentah itu. Kelemahan puak Mahathir dalam berhujah, termasuk Azmin, dan kementahan Syed Saddiq yang memakan diri, menyebabkan akhirnya Mahathir sendiri yang bagi ayat pendirian dia. Mahu tak mahu, semua terpaksa terima ayat Mahathir sebagai konsensus.
Kemuncak kejayaan seseorang pemimpin ialah menghimpunkan di sekelilingnya segerombolan pemimpin sepertinya. Mahathir malah singkir orang. Kita jangan jadi begitu.
4) Liew Chin Tong cepat ambil peluang untuk bagi ayat draf konsensus setelah Mahathir minta sedemikian daripada ahli mesyuarat. Menariknya, Syed Saddiq yang mula-mula bercakap setelah Mahathir minta cadangan ayat konsensus. Tapi, rupa-rupanya dia ulang ‘pointless’ yang dia dah cakap sebelum itu. Tidak reti kemukakan ayat solusi yang boleh ‘convince’ ahli mesyuarat. Membebel saja retinya. Sebaliknya Liew Chin Tong bijak ambil peluang. Itulah DAP, licik mempengaruhi.
Tapi DAP hanya boleh pengaruhi orang yang tebal sifat hipokrit dan tidak menghiraukan prinsip ajaran Islam.
Saya simpulkan begini:
1) PN juga akan menerima nasib yang sama jika bersikap hipokrit begitu. Tidak boleh dinafikan bahawa dunia politik kepartian di negara ini didominasi oleh suasana hipokrit sejak sekian lama. Depan cakap lain, belakang cerita lain, dalam hati pegang lain. Ya, PN ramai Ahli Parlimen muslim, tetapi kita harus insaf bahawa majoriti mereka sudah bergelumang dalam dunia hipokrit bertahun-tahun. Tiada yang selamat kecuali yang dirahmati Allah. Berdoalah banyak-banyak, agar nasib umat ini berada di tangan orang yang takutkan Allah dan mengasihi rakyat.
2) Jika pemimpin politik anda hipokrit sesama mereka, anda jangan harap mereka akan jujur dengan anda. Titik.
3) Kepimpinan politik muda orang Melayu mesti yang boleh kemukakan solusi untuk kepentingan negara secara menyeluruh, matang dan bijak. Ternyata kualiti sebegini tidak dilahirkan oleh sekolah media sosial dan aliran populisme. DAP mempunyai sekolah kepimpinan politik yang lebih berkesan, berbanding parti-parti politik orang Melayu. Jika kita tidak bertindak sekarang, maka masa depan akan jadi milik mereka, sama ada kita suka atau tidak.
Naib Presiden BERJASA
Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman