Saya tak terbabit keputusan lepaskan Riza, kata Muhyiddin

Perdana Menteri, Muhyiddin Hassin menegaskan beliau tidak terbabit dalam persetujuan melepas tanpa membebaskan penerbit Hollywood, Riza Aziz daripada 5 pertuduhan pengubahan wang.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan melepas tanpa membebaskan Riza itu dicapai pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Perdana menteri mengulangi pendiriannya tidak mencampuri urusan Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan kes-kes jenayah di negara ini, termasuk kes-kes berprofil tinggi.”

Khamis lalu, Riza yang juga anak Rosmah Mansor, dilepas tanpa dibebaskan daripada 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah ia tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian itu.

Di bawah perjanjian itu, Putrajaya dijangka mendapatkan kembali aset dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta) daripada Riza.

Riza dihadapkan ke mahkamah pada Julai 2019 atas dakwaan menerima dana daripada Good Star Ltd dan Aabar Investments PJS Ltd yang dikatakan ada kaitan dengan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan keputusan kes itu kerana bimbang ia akan menjadi rujukan kepada mereka yang mencuri wang terlepas daripada hukuman dengan memulangkan wang yang dicuri.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker