Orang berpuasa yang rugi

oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi

RAMADAN sudah pun tiba. Bagi orang yang beriman, inilah masa yang dinanti-nantikan.

Mereka bersedia dengan persiapan yang rapi bagi menyambut Ramadan.

Perhatikan bagaimana Saidina Ali memuji Saidina Umar yang menyalakan lampu serta menghidupkan masjid dengan bacaan al-Quran.



Kata Saidina Ali: “Semoga Allah menerangi kuburmu wahai Umar sebagaimana engkau menerangi masjid dengan bacaan ayat-ayat al-Quran.” (Kanz al-Ummal)

Pun begitu, ramai di kalangan Muslim yang tidak bersedia dalam menyambut Ramadan.

Bahkan ada di kalangan mereka yang tidak merasakan apa-apa dengan kedatangan bulan keampunan ini.

Amat rugilah mereka yang berpeluang bertemu dengan Ramadan, tetapi tidak mendapat keampunan ilahi. Berdasarkan hadis Rasulullah terdapat lima golongan yang boleh dikategorikan sebagai orang yang rugi dalam bulan Ramadan.



Orang bangun sahur tetapi tidak solat dua rakaat

Salah satu golongan yang rugi dalam bulan Ramadan adalah mereka yang bangun sahur, tetapi tidak menunaikan solat dua rakaat.

Ini kerana, di antara waktu yang paling mustajab untuk seseorang itu berdoa adalah di penghujung sepertiga malam.

Sabda Rasulullah: “Sesunggunya Allah turun ke langit dunia setiap malam pada satu pertiga bahagian malam yang terakhir.



Lalu Allah bertanya: ‘Siapa yang berdoa kepadaKu nescaya Aku kabulkan! Siapa yang meminta kepadaKu nescaya Aku perkenankan! Siapa yang meminta ampun kepadaKu sudah tentu Aku ampunkan. Demikianlah keadaannya sehingga terbit fajar.'”

Hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari ini menggambarkan kepada kita bahawa waktu sepertiga malam yang terakhir adalah waktu doa kita sangat rapat dengan Allah.

Namun malangnya ramai di antara kita yang hanya sekadar bangun bersahur dan tidak mengambil kesempatan ini.

Orang yang tidak bersahur



Orang kedua yang berada dalam keadaan kerugian dalam bulan Ramadan adalah orang yang tidak bersahur.

Ini kerana waktu sahur adalah waktu yang mengandungi keberkatan.

Bahkan Rasulullah sendiri memerintahkan kita agar jangan meninggalkan sahur.

Sabda Rasulullah: “Sesungguhnya bersahur untuk mengandungi keberkatan maka janganlah kamu meninggalkan bersahur! Sekalipun kamu sekadar meminum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan Malaikat berselawat (mendoakan) orang yang bersahur.”



Perhatikan berapa kerugian yang dialami oleh yang meninggalkan sahur.

Pertama dia tidak mendapat keberkatan waktu sahur seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah dalam hadis ini.

Kedua dia terlepas daripada mendapat doa kebaikan daripada Allah dan Malaikat.

Inilah kerugian yang paling nyata buat mereka yang terlepas bersahur.



Melakukan maksiat

Ini golongan yang paling rugi dalam bulan Ramadan.

Allah berfirman dalam al-Quran bahawa sesungguhnya orang beriman itu diwajibkan ke atas mereka berpuasa supaya mereka menjadi orang yang bertakwa.

Menurut Umar Abdul Aziz, takwa itu bukan sekadar puasa pada siang hari dan bangun qiamullail pada malam hari, tetapi takwa meninggalkan perkara yang diharamkan Allah dan melakukan segala kewajipan.

Atas dasar itu Rasulullah menempelak mereka yang melakukan maksiat dalam keadaan mereka berpuasa.

Sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak memerlukan dia meninggalkan makan dan minumnya.”

Orang yang berbuka tetapi tidak berdoa

Ramai di kalangan kita yang terkadang menghabiskan masa di hadapan televisyen sementara menunggu waktu untuk berbuka puasa.

Alangkah ruginya andai kita tidak mengambil kesempatan untuk berdoa pada waktu itu.

Ini kerana pada waktu itulah, waktu yang paling sesuai untuk kita memperbanyakkan berdoa kerana ia dikatakan waktu yang mustajab.

Sabda Rasulullah yang mafhumnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, ada satu waktu buat dirinya di mana sekiranya dia berdoa maka doanya tidak akan ditolak iaitu waktu ketika dia hendak berbuka.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi pula, Rasulullah menjelaskan terdapat tiga kumpulan yang mana doa mereka tidak akan ditolak iaitu: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa ketika dia hendak berbuka dan orang yang dizalimi.

Ketiga-tiga kumpulan manusia ini mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah.

Andai mereka berdoa, pasti Allah akan mengkabulkan doanya.

Alangkah ruginya mereka yang tidak berdoa ketika hendak berbuka puasa.

Ramadan adalah bulan keampunan, bulan yang dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka.

Dalam erti kata yang lain, bulan ini adalah bulan untuk kita berlumba untuk ke syurga.

Rebutlah peluang sebanyak mungkin.

Janganlah kita tergolong dalam golongan orang yang rugi seperti yang pernah disebutkan oleh Baginda Nabi.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker