Kenapa hanya Ahmad Zahid, Najib sahaja perlu berkorban?

Oleh Zulkiflee Bakar

DALAM wawancara bersama Utusan Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan pengorbanan dengan ‘memberi jalan kepada orang lain’ demi kasih mereka kepada orang Melayu dan masa depan.

Kata Tengku Razaleigh yang menjadikan Ahli Parlimen Gua Musang (dulu Ulu Kelantan) sejak 1974, pengorbanan tersebut mesti dilakukan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan yang dilihat ‘cacat’ dari segi pandangan rakyat.

Sesungguhnya kita menghormati pandangan Tengku Razaleigh memandangkan beliau Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, tetapi pada masa kita juga berhak tidak bersetuju dan boleh memperbahaskan pandangan itu.

Kes kedua-dua pemimpin itu masih di peringkat perbicaraan di mahkamah, sama ada mereka bersalah atau tidak, kita pun tidak tahu. Oleh itu untuk bertindak adil kepada mereka biarlah kita tunggu kes itu diputuskan oleh mahkamah.

Perlu diingat sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kedua-dua mereka menempuh pelbagai cabaran dan dugaan. Demi kestabilan UMNO, Najib telah melakukan pengorbanan dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden parti dan menyerahkannya kepada Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid pula melakukan pengorbanan lebih besar apabila mengambil alih kepemimpinan UMNO dalam keadaan parti tidak lagi menjadi kerajaan selepas 61 tahun berkuasa.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjadi Presiden UMNO yang pertama berada di blok pembangkang di Parlimen. Tetapi Ahmad Zahid tidak kisah, beliau bersedia melakukan pengorbanan biar sebesar manapun cabaran mendatang demi memastikan parti keramat orang Melayu itu dapat meneruskan perjuangan.

Malah demi sayangnya beliau kepada UMNO dan orang Melayu, Ahmad Zahid menolak dengan tegas permintaan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas PRU-14 untuk membubarkan parti itu. Dan jangan lupa beliau juga memimpin UMNO dalam keadaan akaun parti itu dibekukan ketika itu.

Baca juga… Apabila Tajuddin tegur Mukhriz, “macam bapa dia juga, tak habis-habis”

Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Tengku Razaleigh Hamzah.
Sementara Najib terus setia berjuang bersama UMNO, Ahmad Zahid pula terus berusaha melakukan transformasi memulihkan imej parti itu di mata rakyat khususnya orang Melayu.

Pelbagai usaha beliau lakukan dan paling ketara ialah penubuhan Muafakat Nasional (MN) – satu kerjasama bersejarah bersama Pas. Kerjasama itu disambut dengan linangan air mata oleh umat Islam kerana mereka tidak menyangka selepas berpuluh-puluh tahun bermusuhan dua parti terbesar orang Melayu tersebut akhirnya bersatu hati.

IKLAN

Hasilnya kini, Muafakat Nasional digeruni oleh pihak lawan. Walaupun pada awalnya ada pemimpin UMNO yang keberatan dengan usaha kerjasama itu namun mereka akhirnya akur dengan langkah politik matang Ahmad Zahid.

Malah demi rakyat dan kuasa politik orang Melayu, Ahmad Zahid bersedia berunding dengan Bersatu untuk mewujudkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) biarpun tidak diberi apa-apa jawatan dalam Kabinet.

Penulis bukanlah mahu memuja Ahmad Zahid atau Najib, penulis tidak rapat pun dengan mereka hanya beberapa kali sahaja bersempatan menemuramah kedua-dua pemimpin itu ketika penulis bertugas di Utusan Malaysia terbitan Utusan Melayu (M) Berhad dahulu.

Tetapi penulis berpendapat adalah tidak adil ketika kedua-dua mereka sedang menghadapi ujian daripada Allah SWT, mereka seolah-olah mahu dipinggirkan kononnya atas nama ‘cacat pada pandangan rakyat’.

Mereka belum didapati bersalah oleh mahkamah, oleh itu mereka seharusnya diberi peluang meneruskan perjuangan dalam politik tanpa halangan.

Soal ‘cacat dari segi pandangan rakyat’ biarlah rakyat tentukan. Kalau mahu melihat dari sudut itu, rasanya pemimpin pembangkang pun ‘banyak masalah’ – tetapi adakah mana-mana pemimpin dalam parti mereka memberi pandangan supaya individu terlibat memberi laluan kepada orang lain?

Apa yang penting mana-mana pemimpin UMNO tidak seharusnya memberi pandangan secara terbuka berkaitan sesuatu perkara yang boleh menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai hubungan antara pemimpin dalam parti berkenaan. – Sekadar teguran ikhlas – Fikirkanlah!

Edisi9

Related Articles

One Comment

  1. walaupun anwar didapati bersalah kerana meliwat, jangan kata ahli PKR sahaja malah rakyat juga mengangkat & merelevantkan dia terus sebagai pemimpin(ketua pembangkang & bakal PM) dalam arena politik negara

    kalau si peliwat boleh dianggap masih relevant walaupun setelah didapati bersalah ada melakukan kesalahan jenayah, justifikasinya ialah DS Najib & DS Zahid harus dianggap lebih relevant bukan setakat relevant sahaja…dalam hal ini tentulah justifikasi lebih relevant itu bersandarkan keputusan mahkamah jika mereka didapati tidak bersalah

    percayalah DS Najib & DS Zahid ialah manusia berprinsip, mereka tidak akan membuat diri mereka relevant lagi jika didapati bersalah

    kepada ku li….

    ANDA YANG SEBENARNYA TIDAK LAGI RELEVANT, BILA NAK BERAMBUS DARI POLITIK?…IRIHATI ANDA MASIH MENEBAL TERHADAP DS NAJIB…KAMI TAHU ANDA BERTERIMA KASIH(SECARA SENYAP) PADA MAHATHIR KERANA BERJAYA MENJATUHKAN DS NAJIB SELEPAS ANDA GAGAL MENJATUHKAN DS NAJIB DENGAN MENJADI ANTARA SIPELAKU KEMPEN FITNAH TERHADAP DS NAJIB TERLIBAT DENGAN PEMBUNUHAN ALTANTUYA

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker