Peka dakwa kerajaan LEMBAB

KUALA LUMPUR 8 Julai – Kerajaan didakwa tidak proaktif membuat pindaan terhadap undang-undang sedia ada untuk memastikan khazanah alam dapat dikekalkan, dipelihara dan diuruskan dengan mampan.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Sekitar (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pihaknya kecewa apabila pembalakan haram tidak dianggap sebagai jenayah yang serius.

Kata beliau, lebih menyedihkan apabila terdapat beberapa pihak berkuasa negeri giat memberi lesen pembalakan kepada syarikat pembalakan di kawasan hutan simpan serta tanah adat Orang Asli.

“Peka percaya sudah tiba masanya rakyat membawa mesej berkaitan kepentingan memelihara hutan kepada pihak yang bertanggungjawab dalam menggubal dasar dan undang-undang.



“Kami juga telah menyediakan beberapa cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] bagi menangani isu-isu yang timbul,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shariffa Sabrina, Peka turut merancang mengadakan perarakan aman dari Padang Merbok, di sini ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum cadangan pindaan tersebut kepada seluruh wakil rakyat.

“Kami merayu seluruh rakyat dapat bersama-sama menyertai perarakan ini untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan hutan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker