Ferrari SF90 Stradale masuk pasaran Malaysia

Kuala Lumpur: Naza Italia sebagai pengimport dan pengedar rasmi kenderaan mewah Ferrari di Malaysia memperkenalkan model SF90 Stradale iaitu kenderaan Elektrik Hibrid Plug-In (PHEV) pertama model itu untuk pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata, model ini adalah simbol inovasi bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin dinamik.

“Ferrari berjaya menggabungkan sumber tenaga konvensional dan elektrik serta dilengkapi teknologi termaju sesuai untuk kegunaan di jalan raya, serta potensi jenama ini meneroka ke era hibrid yang berpeluang untuk dipasarkan di negara ini,” katanya ketika majlis pelancaran model itu, hari ini.

Nama SF90 diangkat sebagai rujukan kepada ulang tahun ke-90 penubuhan Scuderia Ferrari dan Stradale membawa maksud ‘jalan raya’ ini yang turut menerima penarafan anugerah daripada Red Dot 200 dan iF Design 2020.

Ia dikuasakan dengan enjin 3,990 cc V8 Turbo dengan kuasa 780Hp dan tambahan 220 hp daripada motor elektrik dengan tork 800Nm.

Melalui bateri hibrid 7.9kWh, ia mampu bergerak sejauh 25 kilometer (km) dan dilengkapi transmisi dwi-klac 8 kelajuan F1.

Kelajuan maksimum kenderaan ini mampu mencapai sehingga 240km/j dengan catatan dari sifar ke 100km/j dalam tempoh 2.5 saat yang dikawal pacuan empat roda.

Ruang dalaman dengan Papan Pemuka Mesin-Manusia (HMI) dilengkapi kluster instrumen skrin definisi tinggi 16 inci serta roda stereng klasik dengan kawalan fungsi lampu hadapan, pengilap cermin indikasi dan mod pemanduan.

Untuk pasaran Malaysia Ferrari SF90 Stradale dijual pada harga RM1,908,000 (sebelum cukai dan insurans) dengan tujuh tahun penyelenggaraan asas percuma.-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker