Universal Music Malaysia tarik balik video muzik Question dendangan kumpulan Dolla

Universal Music Malaysia tarik balik video muzik Question dendangan kumpulan Dolla

Universal Music Malaysia tarik balik video muzik Question dendangan kumpulan Dolla
Baru-baru ini, penampilan kumpulan Dolla menerusi video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi dan mencolok mata. Foto Ihsan Universal Music Malaysia

KUALA LUMPUR: Universal Music Malaysia menurunkan video muzik single terbaharu artis naungannya, iaitu kumpulan Dolla berjudul Question yang dikritik tidak sesuai dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton tempatan.

Universal Music Malaysia mengambil keputusan menurunkan video muzik Question daripada semua platform digital sebagai langkah bertanggungjawab serta demi menjaga sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Pengarah Urusannya, Kim Lim, berkata keputusan itu dibuat selepas melakukan penelitian semula terhadap keseluruhan kandungan produksi dan maklum balas masyarakat.

“Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.

“Kami ambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


“Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik terbabit adalah langkah yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, penampilan kumpulan Dolla menerusi video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi dan mencolok mata.

Kontroversi itu mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang dilapor sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.

Mohd Na’im dilapor berkata, beliau sedang dalam penelitian berhubung perkara itu termasuk mengarahkan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam.

Selain itu, pendakwah selebriti, Asma’ Harun dilapor turut memberikan teguran terbuka dan berpandangan penampilan Dolla dalam video muzik terbabit tidak bermoral dan memalukan wanita yang beragama Islam.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


Lim berkata, Universal Music Malaysia juga menegaskan bahawa selepas ini, pihaknya komited memastikan setiap perancangan kreatif melalui proses semakan yang lebih ketat, membabitkan perbincangan dalaman serta konsultasi profesional bagi mengelak isu sama berulang.

“Syarikat turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan masyarakat yang memberi maklum balas secara terbuka dan membina.

“Kami berharap perkara ini dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Universal Music Malaysia tarik balik video muzik Question dendangan kumpulan Dolla

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Berlaku Adil Dalam Membuat Kritikan

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker