1MDB: Najib pilih beri keterangan bersumpah, 97 hari bicara bela diri

Oleh – Syeikh Baran

1MDB: Najib pilih beri keterangan bersumpah, 97 hari bicara bela diri

Datuk Seri Najib Tun Razak memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi selepas beliau diperintah membela diri bagi empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.



Semasa prosiding, mahkamah memberikan tiga pilihan iaitu pertama, keterangan secara bersumpah dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoal balas, kedua ialah, memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang saksi tanpa diperiksa balas oleh pihak pendakwaan.

Bagi pilihan ketiga pula, Najib diberi pilihan untuk berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan.

Najib, 71, kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau memilih pilihan pertama iaitu memberikan keterangan bersumpah daripada kandang saksi dan boleh disoal pendakwaan.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya tidak mempunyai apa-apa perkara yang mahu disembunyikan.

“Najib memilih pilihan pertama iaitu beliau akan memberi memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi,” kata peguam itu.



Menurut Muhammad Shafee, dijangka seramai 11 saksi pembelaan akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bela diri itu kelak.

Terdahulu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini hakim Mahkamah Rayuan memutuskan Najib membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap semua 25 pertuduhan itu.

Mahkamah juga telah menetapkan bicara bela diri itu bermula pada 2 Disember ini sehingga November 2025 pada tarikh yang telah ditetapkan.

Dalam penghakimannya, Hakim Collin berkata dapatan mahkamah adalah pertuduhan yang dihadapi Najib sah dari segi undang-undang dan tidak mengelirukan, samar-samar mahupun prejudis.



“Bagi semua empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, saya dengan ini memanggil tertuduh untuk membuat pembelaan. Selepas membuat penilaian maksimum, saya dapati pihak pendakwaan membuktikan intipati bagi kesemua 21 pertuduhan (pengubahan wang haram).

“Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh untuk membela diri,” katanya.

Berdasarkan Seksyen 180 Kanun Prosedur Jenayah, kes prima facie dibuktikan apabila pihak pendakwaan telah mengemukakan ‘bukti yang boleh dipercayai’ di mahkamah untuk membuktikan setiap elemen kesalahan.

Selain Muhammad Shafee, Najib turut diwakili barisan peguam Tania Scivetti dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustafa P.Kunyalam bertindak bagi pihak pendakwaan.



Pada Mei lalu, selepas enam tahun berlangsung, pihak pendakwaan yang mengendalikan itu akhirnya menutup kes itu yang mana prosiding kes berlangsung selama 235 hari.

Antara saksi penting yang dipanggil memberikan keterangan termasuklah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.



Najib didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama pada 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang membawa denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.



Minggu lalu, Najib menzahirkan permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

Menerusi pernyataan yang dibacakan anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar, Najib memaklumkan setiap hari dia berasa amat terluka, apabila mengetahui kecurangan yang berlaku dalam syarikat itu semasa di bawah pengawasan bapanya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker