SPRM dakwa Rasuah Imigresen di KLIA terlalu kritikal

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran mewujudkan cawangan baharu di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sebagai usaha menangani kelemahan dan membanteras sindiket ‘counter setting’ yang tidak berkesudahan di situ.

Saranan itu perlu memandangkan masalah membabitkan integriti di KLIA dilihat serius dan kritikal kerana langkah penguatkuasaan serta operasi sering dilakukan, namun tidak digeruni penguat kuasa imigresen dan sindiket.

Penganalisis rasuah, Noor Mohamad Shakil Hameed, berkata wajar bagi SPRM mempertimbangkan cadangan itu kerana ejen sindiket yang dilihat cukup licik dan sentiasa mencari jalan untuk memujuk pasukan penguat kuasa dengan pelbagai tawaran rasuah yang lumayan.

“Masalah yang berlaku di pintu masuk utama negara pastinya dapat diatasi apabila pihak kerajaan dan jabatan Imigresen melakukan transformasi menyeluruh secara tegas dan drastik, termasuklah tindakan memperkasa nilai integriti anggota supaya boleh jadi benteng ampuh untuk katakan tidak kepada rasuah dalam apa juga keadaan sekalipun.

“Bagaimanapun, keberadaan cawangan SPRM juga akan membangkitkan rasa takut dalam kalangan anggota dan pegawai Imigresen yang bertugas agar sentiasa berpegang kepada nilai integriti yang tinggi,” katanya kepada BH.

11 masalah punca masalah, pegawai mudah didekati sindiket

SPRM sebelum ini, menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan Jabatan Imigresen sehingga membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata masalah utama disebabkan kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai imigresen mudah didekati oleh ejen sindiket.

Katanya, kelemahan lain ialah pusingan tempat kerja bagi pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 tidak sistematik.

Mengulas lanjut, Mohamad Shakil berkata, sangat jelas menunjukkan gejala rasuah di situ membabitkan jumlah bayaran yang cukup lumayan, berdasarkan jumlah rampasan wang tunai serta barangan lain termasuk kenderaan.

“Ini kerana sindiket melalui ejen mampu menawarkan jumlah rasuah yang agak sukar untuk ditolak jika anggota dan pegawai benar-benar tidak memiliki nilai integriti yang tinggi,” katanya.

Dalam memastikan aktiviti itu tidak berterusan, kerajaan mahupun Jabatan Imigresen tidak boleh sekadar fokus kepada aktiviti pembetulan terhadap penemuan SPRM sebaliknya memfokuskan kepada aspek pencegahan dalam jangka sederhana dan jangka panjang supaya ia dapat dikekang sepenuhnya dan tidak berulang.

“Kita mencadangkan imigresen memfokuskan kepada aspek penggunaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI) yang boleh mewujudkan sistem automasi sepenuhnya di kaunter daftar masuk termasuk memperluaskan penggunaan kiosk layan diri.

“Sudah tiba masanya kerajaan menyediakan kemudahan penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen bagi mengukuhkan lagi integriti pasukan penguat kuasa berkenaan, seperti yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Ia ternyata sangat berkesan dan mula menjadi ‘fear factor’ supaya tidak berlaku salah guna kuasa dan salah laku dari kalangan petugas serta individu yang berurusan dengan agensi masing-masing,” katanya.

Jabatan Imigresen perlu segera meneliti secara terperinci kesemua 11 kelemahan yang didedahkan SPRM khususnya berkaitan kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai imigresen mudah didekati oleh ejen sindiket.

“Malah, sistem penyeliaan perlu diperkasakan dengan mana-mana penyelia yang gagal melaksanakan tugas dengan berkesan wajar diambil tindakan tatatertib atas dasar cuai dan tidak melaksanakan tugas dengan betul,” katanya.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

 

Bodyguard Fazura dedah Fattah disondol

Fazura fail cerai terhadap Fattah

‘Tergamak hangpa bunuh dia, merangkaklah di Padang Mahsyar’

Al-Arqam ‘berevolusi’ selindung ajaran sesat

Nora Ariffin dedah detik perceraian, paksaan itu berlaku depan mata

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker