Muhyiddin beri alasan ‘MOU kerajaan’ bertentangan dengan Perlembagaan

Semua rakyat yang cintakan negara harus menolak rangka memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan ahli Parlimen PN, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin menegaskan PN menolak MOU tersebut kerana kandungan yang menurutnya bertentangan dengan Perlembagaan dan nilai-nilai masyarakat Asia.

“Bagi saya, peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MOU.



“Ini adalah janji PH dalam manifesto PRU15 dan perdana menteri sekarang adalah daripada parti PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan langkah Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusof – yang mewakili kerajaan dalam rundingan dengan PN – mendedahkan kandungan MOU kepada umum, selepas keputusan PN untuk menolaknya dan mengkritiknya secara terbuka.

MOU itu menggariskan syarat kepada ahli Parlimen PN sebagai pertukaran untuk mendapat peruntukan pembangunan.

Muhyiddin mendakwa MOU itu melarang ahli Parlimen PN untuk bersuara mengenai isu kaum, agama dan raja-raja (3R) dan tindakan membangkitkannya dianggap sebagai “menyebarkan kebencian”.



“Ini tidak betul. Negara ini dibina atas persefahaman antara kaum atau kontrak sosial yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan khusus mengenai hak-hak kaum, agama Islam dan Raja-Raja Melayu.

“Apa hak Kerajaan PH-BN untuk menghalang ahli-ahli Parlimen PN daripada memperjuangkan perkara-perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat?

“Adakah Kerajaan PH-BN ingin memadam sejarah pembentukan Malaysia yang merdeka, meruntuhkan teras pembinaan negara bangsa yang aman dan harmoni, menafikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain dan menulis semula Perlembagaan secara halus menerusi MOU ini?” soalnya.

Muhyiddin turut mendakwa MOU itu mengandungi unsur yang bertentangan dengan nilai masyarakat Asia, apabila menghalang ahli Parlimen PN membuat kenyataan “yang mendiskriminasi mana-mana pihak samada atas dasar agama, kaum…atau apa-apa faktor identiti yang lain”.



“Identiti yang lain ini termasuklah kumpulan LGBT. Adakah ini bermakna jika ahli-ahli Parlimen PN bersetuju dengan draf MOU ini, maka mereka tidak boleh menentang sebarang dasar atau undang-undang yang mungkin akan digubal oleh kerajaan PH-BN untuk membenarkan perlakuan LGBT pada masa hadapan?” soalnya lagi.

Dua versi MOU

Untuk rekod, rangka MOU ini memiliki dua versi.

Kandungan kedua-dua versi kebanyakannya sama, namun satu versi dirangka untuk ditandantangani ahli Parlimen PN secara individu, dan satu lagi untuk PN selaku gabungan dan akan mengikat semua ahli Parlimennya.



Bahagian yang dirujuk Muhyiddin adalah bahagian 2.1 (i) dan (j). Berikut adalah bahagian itu dalam versi yang dirangka untuk PN:

“PN juga mengakui dan bimbang dengan ucapan-ucapan berbentuk kebencian, diskriminasi kaum, agama, dan sebarang bentuk hasutan terhadap Institusi Diraja, termasuk Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong, serta Raja-Raja Melayu. PN juga mengutuk segala propaganda, maklumat palsu, atau sebarang idea yang bertujuan untuk menghasut dan menimbulkan ketegangan kaum, agama, dan/atau budaya serta melakukan sebarang diskriminasi dalam apa- apa bentuk, atau menimbulkan sebarang kebencian terhadap Institusi Diraja dan Raja-Raja Melayu, atau sebarang bentuk penderhakaan terhadap Institusi Diraja dan Raja-Raja Melayu.

“PN juga mengakui dan menyatakan komitmen bahawa setiap ahli Parlimennya akan menahan diri daripada membuat sebarang kenyataan dan/atau ucapan dan/atau perbuatan sama ada secara lisan atau bukan lisan, yang bersifat kebencian, atau menggunakan sebarang bentuk bahasa yang merendahkan atau mendiskriminasikan mana-mana pihak atau kumpulan sama ada atas dasar agama, kaum, etnik, warna kulit, asal-usul, jantina, kewarganegaraan, atau apa-apa faktor identiti yang lain, atau sebarang bentuk komunikasi yang mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan sebarang diskriminasi, kebencian, atau keganasan terhadap mana-mana pihak, atau melakukan sebarang bentuk penghinaan, penderhakaan, atau kecenderungan untuk menghina dan menderhaka terhadap Institusi Diraja dan Raja-Raja Melayu.”

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Fazura fail cerai terhadap Fattah



‘Tergamak hangpa bunuh dia, merangkaklah di Padang Mahsyar’

Al-Arqam ‘berevolusi’ selindung ajaran sesat

Nora Ariffin dedah detik perceraian, paksaan itu berlaku depan mata

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker