Duta Palestin puji ucapan Steven Sim, tegur pemimpin MCA

Duta Palestin puji ucapan Steven Sim, tegur pemimpin MCA

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menerima surat penghargaan daripada Kedutaan Palestin di Malaysia kerana ucapan berkesan beliau ketika Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil, 4 Ogos lalu.

Berkongsi perkara itu, Pengerusi Pertubuhan Solidaritas, Muhammad Najib, berkata ia berikutan Kedutaan Palestin menyifatkan ucapan Steven Sim pada himpunan itu sebagai ‘solid powerful solidarity speech’ atau ucapan solidariti yang amat berkuasa dan berkesan.

Muhammad yang juga Pengerusi DAP Taman Kemuncak berkata, ucapan solidariti Steven Sim pada himpunan itu antara yang paling memberi kesan berikutan beliau menyebut kemerdekaan negara ini tidak akan lengkap selagi Palestin tidak merdeka.

“Steven Sim dalam ucapannya ketika Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil menegaskan isu Palestin bukan semata-mata isu agama tapi ia adalah isu kemanusiaan sejagat.

“Kefahaman dan dekatnya Steven Sim dengan Palestin ini boleh kita simpulkan melalui satu ayat dalam ucapan beliau yang menyebut kemerdekaan kita tidak lengkap selagi Palestin tidak bebas dan merdeka.

“Ungkapan ini sebenarnya kilasan kepada ungkapan yang sama pernah diucap oleh Nelson Mandela pada 1997 dahulu. Ia membawa maksud kemerdekaan kita tidak bermakna jika masih ada saudara kita yang ditindas serta belum bebas dan merdeka,” katanya dalam posting di akaun Facebook dan akaun X, semalam.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dalam surat kepada Steven Sim bertarikh 8 Ogos lalu menzahirkan penghargaan kepemimpinan, kerajaan dan rakyat Palestin, terhadap pendirian tegas Menteri Sumber Manusia itu terhadap perjuangan Palestin dan rakyatnya, menerusi ucapan yang disifatkan sangat berkesan pada Himpunan Pembebasan Palestin.

Walid turut mengirimkan surat kedua bagi memohon kunjungan hormat Kedutaan Palestin terhadap Steven Sim bagi menyampaikan penghargaan secara peribadi terhadap pendirian tegas pemimpin berkenaan.

Pada 4 Ogos lalu, Steven Sim ketika berucap pada Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil, menyifatkan kemerdekaan negara ini sejak 1957 masih tidak lengkap selagi Palestin tidak mencapai kebebasan dan kemerdekaan.

Justeru, beliau dilaporkan menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama wajib mendukung kemerdekaan Palestin kerana perkara yang berlaku di negara Asia Barat itu adalah isu kemanusiaan serta sejagat dan bukannya semata-mata untuk orang Islam.

“Dari 1948 hingga tahun ini, sudah 76 tahun, biarlah generasi kita, zaman kita, masa kita ini, kita akan lihat dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka,” kata Steven Sim ketika himpunan berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad turut menegur MCA yang dilaporkan ‘tidak senang’ dengan ucapan Steven Sim ketika himpunan berkenaan selain menuduh Menteri Sumber Manusia itu sebagai jahil sejarah.

“Yang sebetulnya, MCA tak faham kiasan bahasa dan tak tahu hubung kait perjuangan Afrika Selatan melawan apartheid dan Palestin melawan zionis serta peranan dan solidariti Malaysia dalam dua isu kemanusiaan itu,” katanya. BH

Duta Palestin puji ucapan Steven Sim, tegur pemimpin MCA

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Doktor masak, pramugari hidang

Mamat enggan cari gaduh dengan Jep

Oh My English satu sumpahan – Zain

Ryzal DurianKimchi dikecam buat lawak ‘double meaning’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker