Ke mahkamah jua akhirnya
Ke mahkamah jua akhirnya
Oleh Hishamuddin Aun
Dalam sidang akhbar Muhyiddin Yassin di Parlimen petang kelmarin, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berdiri di belakang terangguk-angguk ketika presiden Bersatu itu mengungkit satu ucapan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul ketika masih menjadi anggota pembangkang pada 2022.
Ketua Pemuda Bersatu dan Ahli Parlimen Machang Wan Fayhsal seakan-akan mengiakan apa diungkapkan presidennya itu: “Seperti mana kata-kata speaker semasa beliau menjadi pembangkang yang dipetik dalam hansard Dewan Rakyat bertarikh 27 Julai 2022 di muka surat 85 ketika membahaskan rang undang-undang pindaan perlembagaan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti saya petik: “Inilah satu-satunya undang-undang yang boleh menyekat kita daripada terus menjahanamkan negara kita, tidak kiralah sama ada sebelah sini (pembangkang) atau sebelah sana (kerajaan) tetapi ini harus terhenti di sini.”
Ia menyimpulkan kekecewaan Bersatu terhadap keputusan terbaru Johari dalam suratnya bertarikh 9 Julai kepada ketua whip parti itu Ronald Kiandee memaklumkan keputusannya bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi bekas enam Ahli Parlimen Bersatu — Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid), Labuan (Suhaili Abdul Rahman), Gua Musang (Mohd Azizi Abu Naim), Jeli (Zahari Kechik), Bukit Gantang (Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal) dan Tanjong Karang (Dr Zulkafperi Hanapi) — yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Tapi bohonglah kalau Bersatu tidak langsung terlintas keputusan itu – kemungkinannya hanya ada dua sama ada notis parti itu diterima atau ditolak – ketika sudah ada ‘duluan’ membabitkan empat Ahli Parlimen Bersatu dari Sabah, 18 bulan lalu.
Pada 17 Jan 2023, Johari yang baru sebulan mengangkat sumpah sebagai speaker ke-11 Dewan Rakyat memutuskan empat bekas ahli Bersatu Sabah — Matbali Musah (Sipitang), Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Jonathan Yasin (Ranau) — yang bertanding dan menang pada PRU15 lalu tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen walaupun mereka keluar parti bagi menyokong Anwar.
Keputusan itu dibuatnya selepas Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran dalam satu kenyataan pada 29 Dis 2022 berkata Bersatu sudah menghantar notis kepada Johari untuk memastikan berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah. Ia susulan dakwaan bahawa empat Ahli Parlimen itu melakukan kesalahan melompat parti apabila bertindak keluar Bersatu Sabah dan menjadi ahli langsung dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor. Bersatu kemudian memanjangkan kes itu ke mahkamah.
Harus tidak silap juga jangkaan Wan Fayhsal sebelum ini apabila beliau dipetik berkata di luar Konvensyen Ahli Parlimen dan Adun Perikatan Nasional (PN) di ibu negara pada 9 Mac lalu bahawa pihaknya meragui Johari akan meluluskan notis parti itu yang dihantar Kiandee pada 21 Jun dengan merujuk kepada isu empat Ahli Parlimen dari Sabah itu.
Cuma, silap parti itu ialah konon percaya Johari sebenarnya tiada pilihan melainkan perlu mengisytiharkan kerusi Parlimen berkenaan kosong selepas keahlian mereka dalam Bersatu disahkan terhenti pada 8 Jun gara-gara mengingkari arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Ahli MPT Wan Saiful Wan Jan mengandaikan demikian kerana gugurnya keahlian seseorang itu adalah urusan dalaman parti berkenaan dan bukan bidang kuasa speaker.
Menyokong pandangannya, Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR Hassan Karim siap menyenaraikan lima sebab Johari perlu mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen itu kerana menjadi tugas speaker untuk menghormati Perkara 49 A(1) Perlembagaan Persekutuan membabitkan akta antilompat parti. Tak perlulah rasanya dihuraikan kembali lima sebab dimaksudkannya itu kerana ia kini hanya bersifat akademik.
Bukan sekadar Hassan, malah ada ramai lagi yang tampil dengan hujah masing-masing bagi menyokong pandangan serupa. Mereka boleh terus mempertikaikannya ‘hingga lembu-lembu pulang ke kandang’. Dalam pada itu tidak terbilang juga pendapat berlawanan untuk kesudahannya ia terserah kepada pertimbangan Johari membuat keputusan tanpa terpengaruh dengan sesiapa atau apa-apa.
Malah, bermula Mesyuarat Kedua Parlimen ke-15 pada 24 Jun, Ahli-ahli Parlimen PN seperti membina momentum untuk memberi tekanan kepada Johari apabila pembangkang keluar Dewan sebagai membantah keputusan merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan susulan kenyataan bahawa kes mahkamahnya boleh dimanipulasi untuk dibatalkan atau digugurkan. Petang semalam Ahli Parlimen pembangkang sekali lagi keluar Dewan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat Johari pada Selasa.
Apa jawab Johari? Sambil menegaskan dirinya bukan posmen, sebaliknya sudah membuat kajian dan membaca semua kenyataan mengenai Perkara 49, Perlembagaan Persekutuan sebelum membuat keputusan, beliau menegaskan: “Keputusan kekal seperti yang telah saya maklumkan kepada Beluran (Kiandee) bahawa kekosongan tidak berlaku.”
Untung juga enam Ahli Parlimen berkenaan yang sebelum ini berdepan pelbagai tekanan daripada parti – sehingga boleh dikira sudah dikembirikan jika diturutkan berapa kali Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mencabar mereka mengosongkan kerusi jika anak jantan – kekal dengan pendirian mereka yang didasarkan kepada keinginan mendapatkan peruntukan untuk rakyat di kawasan masing-masing di sebalik dakwaan mengkhianati parti.
Benar seperti dibayangkan peguam kanan Haniff Khatri Abdulla sebelum ini bahawa tidak akan ada jalan pintas dan mudah untuk Bersatu melucutkan status Ahli Parlimen berkenaan melainkan proses perundangan dan prosiding mahkamah dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan akan memakan masa sehingga tiga tahun – melepasi tempoh untuk PRK boleh diadakan. Bersatu juga tidak perlu diingatkan mengenai tuntutan mereka membabitkan empat Ahli Parlimen dari Sabah itu sebelumnya.
“Bagi sesuatu seperti ini, kita tidak dapat memberi anggaran masa yang tepat kerana kita tidak tahu bila Bersatu akan memfailkan semakan kehakiman di mahkamah. Kita juga tidak tahu sama ada mereka akan memfailkan semakan kehakiman dengan betul dan lengkap atau tidak lengkap. Jika permohonan tidak lengkap, proses pemfailan semakan akan mengambil masa yang lebih lama,” katanya kepada Sinar Premium 4 Mac lalu.
Tindakan Muhyiddin mungkin tepat ketika mengungkit hujah Johari sewaktu masih di pihak pembangkang tetapi pada masa sama perlu akur tanggungjawab sebagai speaker menuntutnya membuat pertimbangan dan keputusan berbeza demi memastikan kestabilan politik.
Sambil itu, veteran Umno Shahrir Samad pula mengingatkan keputusan Johari untuk tidak mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu itu boleh memberi kesan buruk kepada kerajaan. Mengkritik di Facebook apa yang disifatkannya sebagai keputusan atas ‘kepentingan sendiri’ bukannya berdasarkan prinsip, Shahrir berkata: “Jangan terperanjat apabila keadaan sama boleh terkena kepada diri sendiri. Tiada apa sekarang yang (dapat) menghalang pertukaran sokongan tanpa meninggalkan parti. (Ahli Parlimen) tak lompat, hanya ‘terkeluar’ dari parti sebab (mereka) menyokong kepimpinan perdana menteri.”
Perkara itu adalah untuk dibimbangi di lain hari kerana apa yang menjadi perkiraan ketika ini disimpulkan oleh Ketua Umno Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz: “(Orang) yang berkuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi di Parlimen adalah speaker Dewan Rakyat bukan presiden mana-mana parti.” Dan hanya mahkamah boleh mengubah keputusan itu atau tidak terkecuali mengekalkan nyawa. FMT
Ke mahkamah jua akhirnya
Baca Artikel Menarik:
- Pemimpin Umno kena jadi ‘pembangkang’ – Johari
- Rafizi kena jaga mulut
- Bahlol, bodoh Rafizi makan diri
- Tarian pengantin India bersama rakan Melayu jadi viral (Video)
- Mula bergurau, kemudian bergaduh
- Tak perlu lari, runding saja – Anwar
- Kes tumbuk teman wanita, ini kata Ammar Alfian
- ‘Real Taib’ dipenjara 91 bulan, 6 sebatan
- Mamat Exist mengaku ambil dadah
- Muharam bulan Syahrullah
- ‘Berbohong dari dahulu sehingga sekarang, UMNO tidak akan berkerjasama selagi Hadi Awang Presiden PAS’
- Ini rahsia mengapa sepakan penalti England begitu sempurna dalam Euro 2024
- Henti salahkan orang, UMNO kuat MCA & MIC akan turut kuat, jika UMNO lemah begitulah sebaliknya
- ‘Formula Sakti’ Rafizi akhirnya makan diri
- Noh, Annuar ibarat ‘kemuncup di seluar dalam’
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.