Harap pembuli rasa kesakitan arwah anak

Harap pembuli rasa kesakitan arwah anak

“Bukan tidak reda kematian anak, saya reda, cuma saya tidak boleh terima cara arwah didera,” kata Hawa Osman, ibu kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang maut selepas terkena 90 tekapan seterika wap oleh enam penuntut universiti itu.

Hawa, 60, berkata, setiap kali mendengar kes buli berlaku pastinya dia akan menitiskan air mata.

“Setiap malam saya menangis, saya berharap pembuli-pembuli itu merasai sendiri kesakitan yang dilakukan terhadap mangsa,” katanya kepada Harian Metro.

Allahyarham Zulfarhan disahkan meninggal dunia pada 1 Jun 2017 akibat didera sekumpulan penuntut universiti berkenaan dan enam daripada mereka kini menjalani hukuman penjara 18 tahun.

Selain itu, 12 tertuduh yang lain juga kini menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah mencederakan Zulfarhan.

Ibu kepada empat anak itu berkata, sejak kejadian menimpa anaknya itu, dia dan suami trauma menggunakan seterika untuk menggosok pakaian mengenangkan penderitaan dilalui Zulfarhan.

“Jika keadaan tidak mendesak, selalunya anak lain akan menggosok pakaian kami, tapi kami tidak akan menggunakan seterika wap.

“Malah, saya dan suami trauma setiap kali melihat UPNM dan akan mengelak melalui jalan itu kerana di situ terletak kenangan yang mengguris hati,” katanya.

Menurutnya, dia tidak akan memaafkan mereka yang terbabit membuli anaknya sehingga akhir hayat.

“Saya berdoa kepada Allah SWT biarlah pelaku-pelaku itu mendapat balasan di dunia dan akhirat,” katanya.

Hawa berkata, walaupun enam tahun sudah berlalu, ingatan dan kenangan bersama anak lelakinya yang dipanggil Along itu masih tersemat dan mendatangkan kesedihan buatnya dan suami, Zulkarnain Idros, 59.

“Bukan berdendam tapi kesakitan kehilangan anak tersayang buat saya trauma, lebih-lebih lagi mengenang penderitaan anak yang ditekap seterika wap sebanyak 90 kali dan meninggal dunia keseorangan.

“Bayangkan, 90 kesan seterika di setiap tubuh anak termasuk kemaluannya, betapa sakitnya anak saya, disebabkan itu sangat sukar untuk saya memaafkan kerana mereka tidak berhati perut,” katanya.

Hawa berkata, sekiranya Zulfarhan tidak dikurung dan dibawa ke hospital serta menerima rawatan lebih awal pastinya anaknya masih bernyawa.

“Lebih terkilan arwah keseorangan menanggung penderitaan sebelum meninggal dunia, apalah salahnya jika pegawai di universiti itu memaklumkan kepada kami supaya dapat menemani saat anak menghadapi sakaratul maut,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, dua minggu selepas kematian anaknya itu, dia bermimpi arwah pulang dengan memakai pakaian seragam Tentera Laut.

“Saya sambut anak dan bawa dia jalan keliling bandar Johor Bahru, dia cakap dengan saya; ‘Ayah, Zulfarhan tidak mati, Zulfarhan ada lagi’.

“Setiap kali mengingat mimpi itu, saya pasti menangis kerana Zulfarhan anak yang baik,” katanya.

Zulkarnain berkata, selepas kematian anaknya itu, dia ‘mengharamkan’ keturunannya tidak kira anak atau cucu untuk memasuki universiti itu.

“Saya trauma kehilangan anak, malah Zulfarhan sendiri yang begitu ingin memasuki UPNM berbanding menjadi guru.

“Saya reda kematian anak, tapi saya tidak boleh menerima penderitaan dilalui arwah anak yang diseksa sedemikian rupa,” katanya yang turut berharap kes buli dapat ditangani sebelum lebih banyak nyawa terkorban.

‘Duduk tempat saya dulu, baru tahu bagaimana rasanya’

Hati ibu mana mampu bertahan melihat anak yang menjadi mangsa buli pelajar senior di sekolah menengah berasrama penuh di Kuala Nerus lapan tahun lalu masih menderita dan trauma dengan insiden berkenaan.

Sehingga hari ini, anaknya yang kini penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) masih meracau dan menangis dalam tidur akibat kejadian yang menimpa dirinya itu.

Tidak cukup dengan itu, mangsa yang kini berusia 22 tahun kehilangan pendengaran sebelah kanan kerana gegendang telinga pecah menyebabkan dia tidak boleh melakukan aktiviti air seumur hidup selain mengalami beberapa kecederaan lain.

Rusaila Abdullah, 47, berkata, kekurangan yang ada menyebabkan anak kedua daripada empat beradik itu sentiasa merasa rendah diri.

“Memang sudah lapan tahun berlaku tapi kesan dan sakitnya masih terasa sehingga hari ini kerana anak bukan saja mengalami cacat pendengaran kekal tapi hilang zaman remajanya walaupun sebelum ini dia seorang yang aktif.

“Kecederaan dialaminya akibat dipukul itu menyebabkan dia tidak boleh melakukan aktiviti air seumur hidup dan menjadi aktif seperti remaja lain seusianya.

“Air memang tidak boleh masuk dalam telinganya kerana ia berisiko terkena jangkitan kuman yang boleh membawa kepada kematian memandangkan kedudukan kecederaan yang terlalu hampir dengan otak.

“Dia juga masih trauma kerana sehingga hari ini ada kalanya dia meracau ketika tidur akibat kejadian berkenaan dan sebagai ibu luluh hati saya melihat keadaannya,” katanya ketika ditemui.

Rusaila berkata, dia dan keluarga turut menerima kecaman apabila membawa kes ke mahkamah kerana dianggap sengaja mahu membesarkan perkara itu sedangkan kecederaan dialami anak tidak seberapa.

Katanya, kecederaan anak disahkan pakar selain dia masih trauma sehingga perlu mendapatkan rawatan psikiatri kerana mengalami tekanan perasaan.

“Pada awalnya, memang kami tidak pernah terfikir untuk mengambil tindakan saman tetapi apabila mengenangkan keadaan anak dan kesan trauma dihadapinya membuat kami nekad mengambil tindakan sedemikian untuk masa depannya.

“Mereka tidak berada di tempat kami…kejadian itu berlaku ketika saya sedang berpantang anak keempat dan cuba bayangkan bagaimana keadaan saya apabila anak diperlakukan sedemikian rupa.

“Bukan mahu mengungkit tetapi sehingga hari ini, pelajar senior dan keluarga yang terbabit dalam kejadian itu tidak pernah meminta maaf atas insiden berkenaan.

“Pada awal kejadian itu berlaku, seorang daripada keluarga pelajar senior ada datang berjumpa saya tetapi bukan untuk meminta maaf sebaliknya mahu saya menarik laporan polis kerana ia akan merosakkan masa depan anaknya,” katanya.

Rusaila berkata, kejadian menimpa anaknya itu membuatkan mereka terkesan sekiranya ada kes buli dilaporkan.

“Cuba letakkan diri sebagai ahli keluarga kepada mangsa buli yang kesannya masih dirasai sehingga hari ini.

“Alhamdulillah, selepas beberapa tahun turun naik ke mahkamah sejak 2017, akhirnya kes anak selesai apabila keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Oktober lalu tetap berpihak kepada kami,” katanya.

4,994 kes buli direkod dari Januari – Oktober

Data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan 4,994 kes buli dilaporkan dari Januari hingga Oktober 2023.

Ketua Gerakan Penggubalan Akta Anti Buli, Wan Azliana Wan Adnan berkata, kes buli di sekolah menunjukkan peningkatan mendadak berbanding tahun sebelumnya.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 4,994 kes direkodkan pada 2023 berbanding 3,887 kes pada 2022. Pada 2021 sebanyak 326 kes dilaporkan, 2017 (2,795 kes), 2016 (3,488 kes) dan 2015 (3,011 kes),” katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa) berkata, sudah sampai masanya kerajaan menggubal undang-undang khas untuk menangani kes buli membabitkan pelajar sekolah.

Wan Azliana berkata, ia diperlukan untuk menambah baik undang-undang sedia ada walaupun sudah mempunyai Kanun Keseksaan dan panduan seperti Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, serta pekeliling yang berkaitan di negara ini.

Menurutnya, kejadian buli tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberikan kesan negatif terhadap mangsa secara fizikal, psikologi dan emosi.

“Semua pihak harus sedar bahawa buli adalah satu jenayah yang boleh merosakkan mangsa sehingga meragut nyawa,” katanya.

Sebelum ini di Dewan Rakyat, bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying mendedahkan sebanyak 9,207 kes buli direkodkan di seluruh negara hanya dalam tempoh tiga tahun bermula 2021 hingga Oktober 2023.

“Kesemua kes ini sudah dijalankan siasatan dan tindakan susulan diambil terutama dari aspek bimbingan dan kaunseling.

“Untuk makluman, kes buli membabitkan banyak pihak, bukan hanya ibu bapa, malah pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat juga amat diperlukan,” katanya.

Katanya, KPM juga menyediakan saluran pelaporan bagi membolehkan pihak sekolah melaporkan kes buli melalui portal aduan buli.

“Jawatankuasa anti buli diwujudkan di setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui Jawatankuasa Menangani Gejala Disiplin Negeri,” katanya. HM

Harap pembuli rasa kesakitan arwah anak

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Adegan ‘aiskrim’ Amir Ahnaf kecoh di TikTok, tuan badan akhirnya mohon maaf

Suami isteri merupakan guru dan doktor ditemui mati di kondominium

Suami tak sedar diri ambil harta saya beri perempuan lain – Hajar (Video)

Pak belang muncul di Jalan Kuala Balah-Dabong

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker