NGO dakwa laporan EIA insinerator di Rawang hanya ‘topengan’

Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) mengecam Kerajaan Selangor kerana mengumumkan projek insinerator sampah Kuala Langat akan bermula pada pertengahan tahun depan sebelum laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) siap.

Dalam satu kenyataan, JRTI berkata pengumuman itu telah menjadikan EIA sebagai formaliti dan sekadar ‘topengan’ semata-mata.

“Kerajaan negeri Selangor pada dasarnya bertindak melulu, tidak mengendahkan dan tidak mendengar bantahan rakyat,” kata JRTI.



JRTI mengulas laporan SelangorKini yang memetik pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir sebagai berkata pembinaan insinerator itu akan bermula Jun depan dan fasa pertama dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.

Ramli berkata YTL Power Generation International Bhd telah dipilih sebagai rakan kongsi untuk pelaksanaan projek fasa pertama.

Insinerator itu adalah sebahagian daripada Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (Sisge) yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari semasa pembentangan Belanjawan negeri 2024 baru-baru ini.

“Segala perincian projek fasa pertama akan dimaklumkan kepada pihak awam menerusi proses kajian alam sekitar yang telus dan lengkap serta dijangka siap pada hujung tahun ini,” katanya.



Di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015, “loji rawatan haba” untuk sisa disenaraikan di bawah jadual kedua yang mewajibkan laporan EIA disediakan.

Sebaik sahaja ia diterbitkan, orang ramai mempunyai masa 30 hari untuk meneliti dokumen itu dan mengemukakan maklum balas mereka.

Jawatankuasa teknikal kemudiannya akan mengkaji laporan dan maklum balas berkenaan sebelum memutuskan sama ada untuk menerima atau menolak laporan tersebut.

Menurut JRTI, Ramli memberitahu mereka semasa satu sesi dialog bahawa projek itu akan dibatalkan sekiranya EIA ditolak.



Justeru JRTI menggesa kerajaan Selangor menjelaskan apakah suara penduduk akan didengar berhubung projek itu.

“Kami sekali lagi menggesa kerajaan negeri Selangor mengelak beroperasi secara sulit dan mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” kata JRTI.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker