Hukum memuat naik gambar tidak menutup aurat
Hukum memuat naik gambar tidak menutup aurat
Soalan :
Assalamualaikum. Baru-baru ini viral di media sosial isu yang melibatkan poligami. Dengan niat untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan merancang harta bagi pasangan yang mengamalkan poligami, saya telah menggunakan ‘screenshot’ dari filem Madu Tiga. Tujuan saya menggunakan gambar babak dari filem madu tiga adalah untuk lebih memudahkan masyarakat memahami mesej yang saya cuba sampaikan kerana pada pendapat saya filem tersebut amat dekat dan sebati dalam masyarakat dan sentiasa di ulang tayang.
Tindakan saya telah ditegur dengan keras oleh seorang pembaca dan di katakan telah melakukan dosa kerana menggunakan gambar (babak lakonan yang di screenshot dari filem tersebut) orang yang telah tiada, berpakaian menjolok mata dan tidak menutup aurat. Benarkah perbuatan saya itu berdosa dan bagaimana pula menonton filem-filem & drama yang memaparkan pelakon wanita yang tidak menutup aurat (Free hair)?
Jawapan :
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52)
Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. ( Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31/44)
Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana disepakati ulama’ berdasarkan firman Allah SWT:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Nur:31)
Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama’ menetapkan hukum wajib menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar RA:
يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا
Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”
Riwayat Abu Daud (4104) dan al-Baihaqi (3218)
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan menjaga aurat adalah satu kewajipan. Mengenai menyebarkan gambar tidak menutup aurat mereka yang telah meninggal dunia, kami nasihatkan elakkanlah memuat naik gambar mereka yang tidak menutup aurat, lebih-lebih lagi gambar yang kurang baik untuk dipandang seperti menjolok mata. Mengenai dengan dosa mengalir atau tidak, itu merupakan perkara yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Manakala, berkaitan menonton filem/ drama yang pelakonnya free hair, kami nukilkan Imam al-Ramli ketika mensyarahkan pendapat Imam Nawawi dalam al-Minhāj menyebutkan, diharamkan seorang lelaki yang baligh daripada melihat aurat wanita ajnabi yang merdeka, tapi tidak haram jika aurat itu sekadar imej, gambar atau pantulan. Maka tidak diharamkan melihat aurat melalui cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sebahagian ulama’ kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung. Namun, ditegaskan di sini keharusan ini terpakai selagimana ia tidak menimbulkan fitnah dan menaikkan syahwat. (Lihat Nihāyat al-Muḥtāj, 6/187; Iʿānat al-Ṭālibīn, 3/301)
Dalam masa yang sama, sikap wara’ dan berhati-hati hendaklah diutamakan. Potensi untuk gambar yang tidak menutup aurat (walaupun sekarang menutup aurat) untuk menjadi fitnah adalah amat tinggi. Maka, di sinilah asas pengharamannya berdasarkan kaedah sadd al-zari’ah iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram. Ini juga juga berdasarkan kaedah fiqh lain yang berbunyi:
مَا أَدَّى إِلَى الْحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ
Maksudnya: “Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.”
Ini juga berdasarkan satu kaedah:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”
Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Kredit : Maktabah Al Bakri
Hukum memuat naik gambar tidak menutup aurat
Baca Artikel Menarik:
- Irmohizam rakyat Malaysia pertama dipilih Ahli Lembaga WTCA
- Shah Rukh Khan cucuk alat sulit
- Beras import pada harga beras tempatan
- Gali semula kubur bayi selepas dengar tangisan
- Puteri Zarith fail penceraian
- Saifuddin jawab saman Sanusi
- Ini sebab Diana rujuk semula dengan Farid
- Nelydia Senrose free hair di Thailand?
- Jakim tidak terbabit gugurkan nama Ustazah Norhafizah
- Ebit Lew disiasat polis
- Pegawai pihak berkuasa tempatan ditangkap berkhalwat dengan isteri orang
- Tiga wanita seksi menari dangdut depan surau
- Ucap selamat datang bulan Maulidur Rasul, Mondy dikecam netizen
- 3 Mahasiswa cedera ditikam
- Caprice minta Ebit Lew hantar saman segera
Layari Laman Facebook MYKMU.NET