Rempeyek Mama Keen laku keras, bakal tembusi pasaran Ireland


Rempeyek Mama Keen laku keras, bakal tembusi pasaran Ireland

BATU GAJAH: Tanpa ilmu dan pengalaman dalam bidang perniagaan, seorang wanita di sini membuktikan kursus dan bantuan kepada usahawan sepertinya oleh agensi kerajaan negeri mampu membawa kejayaan dalam perniagaan yang diceburinya.

Assyakirin Abas, 41, yang menghasilkan produk rempeyek dengan jenama Mama Keen mengakui tiada asas dalam perniagaan apatah lagi bercita-cita untuk beroperasi sehingga peringkat kilang.

Namun, semua itu sudah pun dicapainya dalam tempoh yang agak singkat iaitu sejak memulakan pembuatan produk rempeyek pada tahun 2020.



Semuanya bermula selepas perniagaan katering yang diusaha oleh Assyakirin tidak dapat bertahan akibat pandemik Covid-19.

“Setelah perniagaan katering tidak dapat diteruskan, saya membuat rempeyek secara kecil-kecilan di rumah dan hanya menjualnya di sekitar kawasan tempat tinggal saya sahaja. Tanpa disangka, menerusi strategi pemasaran melalui media sosial, produk saya mendapat sambutan dan menerima tempahan dari seluruh negara.

“Sebagai langkah mengembangkan perniagaan, saya sering menyertai kursus-kursus yang ditawarkan agensi kerajaan negeri secara percuma seperti Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

“Dari situ saya dapat menambah ilmu perniagaan seperti bagaimana hendak mendapatkan pensijilan Halal, Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan sebagainya.



“Perniagaan saya semakin berkembang dan kini beroperasi di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Siputeh, malah rempeyek Mama Keen ini sudah mendapat kelulusan untuk dijual di stesen Petronas seluruh negara,” katanya.

Menurut Assyakirin, bantuan dan inisiatif dari segi modal, seminar oleh agensi kerajaan negeri amat membantunya dalam perkembangan perniagaannya.

Katanya, lebih penting bantuan dan bimbingan daripada agensi kerajaan negeri terutama STeP melalui inisiatif Perak Sejahtera 2030 dan Yayasan Perak serta agensi kerajaan Persekutuan yang berkaitan, bukan sahaja membantunya tetap ramai lagi usahawan yang lain untuk terus maju.

“Pada saya, bukanlah geran bantuan perniagaan semata-mata yang saya dicari, tetapi lebih penting ialah ilmu pengetahuan perniagaan, rangkaian perniagaan, kenalan usahawan apabila mengikuti kursus yang ditawarkan kerajaan, inilah yang sebenarnya yang mampu membawa usahawan ke peringkat lebih baik,” katanya.



Menurutnya, Mama Keen Empire mengeluarkan 20 jenis rempeyek berasaskan sayur-sayuran antaranya perisa daun kari, daun limau purut, pedas berapi, daun kesum, bayam Brazil, udang kering dan lobak merah.

“Saya dalam perancangan memasarkan produk ke luar negara dengan memulakan langkah untuk memasuki pasaran di Ireland dan Singapura dalam masa terdekat,” katanya. Utusan

Rempeyek Mama Keen laku keras, bakal tembusi pasaran Ireland



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker